SumiSaujana rancang buka kilang di Amerika Utara, Asia Barat

SumiSaujana rancang buka kilang di Amerika Utara, Asia Barat

NORAZLAM NORBI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: SumiSaujana Group Bhd. (SumiSaujana), pen­geluar bahan kimia khusus untuk industri minyak dan gas (O&G) merancang untuk membuka kemudahan pengeluaran di Amerika Utara dan Asia Barat bagi mengurangkan kos logistik dan mengukuhkan kehadiran global.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif SumiSaujana Group Berhad, Norazlam Norbi berkata, lebih 70 peratus daripada hasil SumiSaujana diperoleh daripada pasaran antarabangsa, termasuk Asia Pasifik, Asia Barat dan Amerika Utara.

“Kami telah mengeksport ke lebih 16 negara dan kami sedang merancang untuk membuka kemudahan pengeluaran di Amerika Utara dan Asia Barat bagi mengurangkan kos logistik dan mengukuhkan kehadiran global. 

“Melalui strategi ini, kami menyumbang secara langsung kepada pertumbuhan ekonomi negara menerusi aktiviti eksport bernilai tinggi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia. 

Sementara itu, Norazlam berkata, SumiSaujana menjalinkan hubungan jangka panjang dengan syarikat minyak dan gas utama menerusi perjanjian pembelian induk, serta pendaftaran sebagai pembekal berlesen di bawah sistem SWEC Petronas. 

Katanya, syarikat menawarkan formulasi bahan kimia yang disesuaikan, sokongan teknikal dan perkhidmatan selepas jualan. 

“Antara pencapaian kami adalah perjanjian komersialisasi teknologi corossion inhibitor (CI4) bersama Petronas, kerjasama berterusan selama lebih satu dekad dengan syarikat antarabangsa terkemuka seperti Baker Hughes dan syarikat-syarikat perkhidmatan ladang minyak global yang lain-lain. 

“Kami juga telah menyertai perjanjian dengan Topsoe A/S, sebuah pengeluar katalis yang berpangkalan di Denmark untuk pengedaran katalis penapisan, penyerap sulfur suhu rendah, penyerap merkuri dan katalis untuk pengeluaran hidrogen, ammonia dan metanol kepada beberapa anak syarikat kumpulan Petronas di Malaysia. 

“Pendekatan ini mengukuhkan kedudukan kami sebagai rakan strategik yang dipercayai di peringkat domestik dan global,” katanya. 

Mengulas lanjut, kualiti dan keselamatan merupakan keutamaan utama syarikat dalam setiap peringkat pengeluaran. 

“Setiap produk diuji secara menyeluruh di makmal penye­lidikan dan pembangunan (R&D) dalaman kami, bermula daripada bahan mentah sehingga ke produk akhir – meliputi aspek kestabilan, kereaktifan dan keberkesanan.

“SumiSaujana juga merupakan pembekal berlesen Petronas sejak 2016 di bawah sistem pendaftaran SWEC dan turut menyertai United Nations Glo­bal Compact sebagai komitmen kepada amalan perniagaan yang bertanggungjawab.

“Dengan operasi pen­geluaran, pembungku­san dan penyimpanan yang bersepadu di ba­wah satu sistem ka­walan, kami dapat mengekalkan kualiti produk secara konsisten dan bertindak balas dengan cekap terhadap keperluan pe­langgan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×