PETALING JAYA: Mata wang tempatan dijangka terus mengukuh pada minggu ini, dipacu oleh sokongan kukuh dan kejayaan Sidang Kemuncak Tiga Hala melibatkan blok ASEAN, Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China.
Di akhir dagangan semalam, ringgit mengukuh pada 4.2170/2230 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) daripada 4.2280/2340 ketika penutup Jumaat lepas.
Penganalisis ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, prestasi ringgit yang semakin baik disebabkan oleh sokongan negara-negara ASEAN dan China ketika sidang kemuncak ini.
Ujarnya, ini secara tidak langsung telah membina keyakinan terhadap mata wang negara, serta mata wang ASEAN lain yang juga mengalami pengukuhan.
“Sepatutnya, ringgit dijangka melemah kerana Rizab Persekutuan (Fed) AS dilihat tidak tergesa-gesa untuk mengurangkan kadar faedahnya.
“Apa yang kita lihat ini adalah pengukuhan ringgit dipacu oleh sokongan negara-negara ASEAN dan China sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang sedang berlangsung ketika ini.
“Bagaimanapun, situasi ini dilihat bersifat sementara dan kita perlu memantau pergerakan ringgit pada minggu-minggu akan datang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambahnya, dolar AS yang melemah ketika ini juga boleh akibat sentimen tarif juga membawa kepada pengukuhan ringgit.
Sementara itu, Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, pengukuhan ringgit disebabkan oleh dolar AS yang merudum kerana sentimen negatif disebabkan kemungkinan tarif akan dikenakan oleh kerajaan AS kepada pelbagai negara termasuk Kesatuan Eropah (EU).
Katanya, pengukuhan ini akan berubah-ubah mengikut sentimen tidak menentu terhadap dolar AS
“Sektor yang terlibat dengan import komponen dan barangan akan mendapat manfaat daripada pengukuhan ini kerana kos pembelian akan menjadi lebih kompetitif
“Langkah yang diambil ialah dengan memperkasakan industri tempatan supaya dapat hasilkan lebih banyak barangan yang mendapat permintaan di pasaran global,” ujarnya.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, rang undang-undang cukai diluluskan oleh Dewan Perwakilan AS baru-baru ini dijangka meluaskan defisit fiskal dan meningkatkan tahap hutang kerajaan.
“Penurunan penarafan kredit berdaulat AS oleh Moody’s Ratings yang berlaku sebelum kelulusan undang-undang itu telah menyebabkan hasil Perbendaharaan AS naik lebih tinggi dengan bon 30 tahun melebihi markah 5.0 peratus, akibatnya pinjaman akan menjadi lebih mahal.
“Pasaran kini berada di persimpangan kritikal kerana dolar AS, secara tradisinya dilihat sebagai mata wang selamat, namun status itu sekarang dikaji semula,” katanya. – UTUSAN