Samaiden raih kontrak RM45 juta laksana projek solar PV di Kulim - Utusan Malaysia

Samaiden raih kontrak RM45 juta laksana projek solar PV di Kulim

CHOW PUI HEE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Samaiden Group Bhd, melalui anak syarikat milik penuhnya Samaiden Sdn Bhd, memperoleh kontrak RM45 juta daripada PAXS Renewables Sdn. Bhd. (PAXS) untuk loji janakuasa solar fotovoltaik berskala besar (LSSPV) berkapasiti 9.99MWac di Kulim, Kedah.

Kontrak itu bagi melaksanakan kerja-kerja Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC) merangkumi skop penuh, termasuk reka bentuk, kejuruteraan, perolehan, pembinaan, ujian dan pentauliahan fasiliti berkenaan.

Projek yang diluluskan Suruhanjaya Tenaga (ST) pada Disember 2024 di bawah program Large Scale Solar 5 (LSS5) itu mencerminkan kedudukan kumpulan yang semakin kukuh dalam segmen solar skala utiliti di Malaysia.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Ir. Chow Pui Hee berkata, kontrak di bawah LSS5 itu mengesahkan keupayaan Samaiden sebagai rakan kongsi EPCC solar yang dipercayai di negara ini.

“Ia mengukuhkan komitmen kami dalam menyokong agenda tenaga boleh diperbaharui kerajaan serta membina nilai jangka panjang melalui pelaksanaan projek secara konsisten dan sumbangan pendapatan yang mampan.

“Memandangkan kumpulan terus memperoleh kemenangan strategik di seluruh negara dan rantau ini, Samaiden kekal fokus mengembangkan portfolio tenaga boleh diperbaharui serta menyampaikan nilai jangka panjang yang konsisten kepada pemegang kepentingan di peringkat tempatan dan antarabangsa.

“Melalui pendekatan ini, kami mahu memperkukuh asas syarikat bukan sahaja sebagai peneraju dalam aspek kelestarian, malah sebagai penyumbang utama kepada transformasi tenaga global,” katanya dalam kenyataan.

Kerja-kerja projek akan bermula serta-merta selepas penandatanganan LOA pada 19 Mei 2025, dengan permulaan di tapak tertakluk kepada pengeluaran notis rasmi untuk diteruskan selepas semua syarat kontrak dipenuhi.

Projek tersebut dijangka mencapai Tarikh Operasi Komersial (COD) pada 12 Julai 2027. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN