PETALING JAYA: Saham2u, sebuah platform pembiayaan saham patuh syariah melancarkan platform yang telah dinaik taraf, direka untuk menawarkan pengalaman yang lebih mesra pengguna, selamat dan lancar kepada para pelabur.
Penambahbaikan ini menampilkan antara muka yang lebih intuitif, proses permohonan yang dipermudahkan, serta protokol keselamatan yang dipertingkatkan bagi memudahkan pelabur untuk mendapatkan modal tanpa perlu menjual pegangan saham mereka.
Ketua Operasinya, Noor Hazimah Sain berkata, sejak pelancaran pada Oktober tahun lalu, Saham2u telah berkembang menjadi penyelesaian yang dipercayai oleh para pelabur, dengan lebih daripada 1,000 pelabur telah menggunakan platform ini untuk membuka kecairan daripada portfolio saham mereka.
Katanya, pihaknya juga telah berinteraksi secara aktif dengan sebahagian daripada pelabur ini untuk mendapatkan maklum balas yang sangat membantu dalam penambahbaikan platform ini.
“Dengan platform yang dinaik taraf ini, kami telah memudahkan lagi proses bagi pelabur untuk memanfaatkan portfolio mereka bagi mendapatkan pembiayaan alternatif yang ringkas, selamat dan selari dengan prinsip kewangan Islam.
“Direka untuk pelabur yang memiliki saham pertumbuhan tinggi mahupun saham simpanan jangka panjang, Saham2u menawarkan cara unik untuk menukar saham yang tidak aktif kepada modal kerja,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, sama ada untuk membiayai perniagaan baharu, menampung perbelanjaan peribadi atau melabur semula dalam peluang pasaran, platform ini menyediakan laluan yang dikawal selia dan selamat bagi pelabur untuk mengakses kecairan.
Menurutnya, matlamat Saham2u juga adalah untuk menjadikan pembiayaan saham sebagai pilihan arus perdana bagi pelabur di Malaysia.
“Kami berbangga dapat menawarkan satu penyelesaian yang bukan sahaja patuh syariah, tetapi juga disesuaikan dengan keperluan pelabur moden yang semakin berkembang.
“Dengan peningkatan dari segi kesederhanaan dan keselamatan platform ini, kami yakin lebih ramai pelabur akan melihat manfaat mencairkan portfolio mereka melalui Saham2u,” ujarnya.
Tambahnya, platform Saham2u direka dengan ciri keselamatan yang kukuh bagi melindungi data pengguna dan transaksi kewangan.
Jelasnya, melalui kerjasama strategik bersama MSC TrustGate.Com Sdn. Bhd., Saham2u menggunakan teknologi tercanggih untuk melindungi maklumat peribadi dan kewangan, sekali gus memberikan ketenangan minda kepada pelabur.-UTUSAN










