KUALA LUMPUR: Syarikat penyedia telekomunikasi berpangkalan di Sarawak, Reach Ten Holdings Bhd, membuat penampilan sulung di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities dengan nilai dagangannya naik 2.5 sen daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) 52 sen sesaham.
Syarikat yang berpangkalan di Kuching, Sarawak itu dibuka mendatar pada 52 sen, sama seperti harga IPO sebelum jatuh ke paras terendah 50 sen.
Saham itu kemudian pulih dalam masa 10 minit dan didagangkan pada 54.5 sen, naik 4.81 peratus daripada harga IPOnya, selepas hampir 85 juta saham bertukar tangan.
Pada harga terakhir, syarikat itu mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM545 juta.
Pengarah Urusan Reach Ten, Leo Chin berkata, tahun ini menandakan tahun ke-20 operasi syarikat di Malaysia, dengan tumpuan kukuh di Sarawak.
“Di Reach Ten, kami menyediakan penyelesaian sambungan menyeluruh dari hujung ke hujung yang disesuaikan untuk perniagaan, agensi kerajaan dan sektor telekomunikasi secara umum.
“Keistimewaan kami terletak pada pemilikan dan pengendalian penuh terhadap aset infrastruktur utama, termasuk rangkaian berasaskan satelit dan sistem komunikasi gentian optik,” katanya selepas penyenaraian syarikat itu di Bursa Malaysia.
Reach Ten Holdings berjaya mengumpul RM104 juta melalui IPO dengan memperuntukkan RM60 juta (57.7 peratus) daripada hasil IPO bagi meningkatkan rangkaian gentian optik sedia ada di Kuching dan membina infrastruktur gentian optik baharu di Miri, Sibu dan Bintulu.
Selain itu, RM25 juta (24 peratus) akan digunakan untuk membina 100 menara telekomunikasi 4G dan 5G baharu di seluruh Sarawak, dengan tumpuan di Miri, Sibu dan Bintulu. Usaha ini selaras dengan inisiatif kerajaan negeri untuk memperluas akses Internet, khususnya di kawasan luar bandar.
Peruntukan itu termasuk pembelian terminal satelit mudah alih dan tetap, perkakasan dan perisian sokongan, serta penambahbaikan kepada kemudahan teleport sedia ada.
Baki hasil IPO akan digunakan untuk keperluan modal kerja berjumlah RM5 juta (4.8 peratus); RM1.7 juta (1.6 peratus) bagi membayar balik pinjaman bank, manakala RM8 juta (7.7 peratus) lagi akan digunakan bagi menampung anggaran perbelanjaan penyenaraian.
Mengulas mengenai status Reach Ten sebagai pengedar sah Starlink di Malaysia, Leo berkata, syarikat positif terhadap peningkatan hasil tambahan menerusi kerjasama dengan Starlink.
“Walaupun masih di peringkat awal, maklum balas pasaran sangat menggalakkan. Setakat ini, kami telah memasang lebih 200 unit peralatan Starlink.
“Namun dari segi hasil, ia masih mencabar untuk menyamai prestasi perkhidmatan satelit konvensional kami. Tapi kami yakin apabila skala ekonomi dicapai, hasilnya akan sepadan atau mungkin lebih baik,” katanya.
Mengulas lanjut, Leo berkata, syarikat merancang untuk mengembangkan meluaskan infrastruktur melibatkan tambahan 550 kilometer rangkaian salur fiber optik.
“Inilah skala utama yang sedang kami rancang. Sebelum ini kami mengambil hampir 14 hingga 15 tahun tetapi kami yakin dapat mencapai sasaran ini dalam masa tiga tahun sahaja, sambil mengekalkan kualiti jaringan sedia ada,” katanya. – UTUSAN