PETALING JAYA: Keputusan Mahkamah Rayuan Amerika Syarikat (AS) yang mengekalkan semula tarif import besar-besaran terhadap China dan beberapa rakan dagang lain buat masa ini, dilihat memberi tekanan kepada prestasi ringgit yang terus melemah.
Keputusan tersebut membolehkan proses rayuan diteruskan selepas Mahkamah Perdagangan Antarabangsa sebelum ini membatalkan sebahagian besar tarif yang diperkenalkan oleh Presiden Donald Trump, dengan alasan beliau telah melangkaui kuasa yang dibenarkan.
Semalam, ringgit ditutup lemah berbanding dolar AS pada 4.2470/2530 berbanding penutup dagangan kelmarin pada 4.2370/2430.
Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Profesor Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, perkembangan itu bersifat sementara dan tidak mencerminkan hala tuju jangka panjang pasaran kewangan.
“Sebaliknya, ia mencerminkan ketidaktentuan dasar perdagangan AS yang boleh menjejaskan kestabilan kewangan global dalam tempoh mendatang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut beliau, ringgit dijangka kembali bergerak dalam julat antara RM4.25 hingga RM4.30 berbanding dolar minggu ini, sejajar dengan pengukuhan Indeks Dolar AS (DXY) yang berkemungkinan mencecah paras 100 mata minggu hadapan.
“Namun, dalam jangka sederhana dan panjang, pengurus dana antarabangsa masih berhati-hati terhadap hala tuju dasar pentadbiran AS yang terus mencetuskan ketidaktentuan geopolitik global,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, sebelum ini dolar AS mengukuh selepas mahkamah perdagangan memutuskan bahawa dasar tarif diperkenalkan Trump tidak menyalahi undang-undang.
“Namun, keputusan terbaharu oleh mahkamah rayuan adalah berbeza dan dilihat tidak menyebelahi dasar Trump. DXY kini menunjukkan penyusutan dan berada di bawah paras 100 mata.
“Isu tarif ini dilihat akan terus memberi tekanan kepada dolar AS sekiranya ia dikekalkan,” katanya.
Tambah beliau, ringgit dijangka berlegar pada paras RM4.23 hingga RM4.24 minggu ini dan berkemungkinan mencecah RM4.22 hingga RM4.23 minggu hadapan, disokong prestasi mata wang Asia yang dijangka lebih baik. – UTUSAN