Projek pelebaran Lebuhraya KL- Karak dijadual pada suku kedua 2025 - Utusan Malaysia

Projek pelebaran Lebuhraya KL- Karak dijadual pada suku kedua 2025

KEADAAN lebuh raya KL-Karak merekodkan kesesakan. - LLM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: AFA PRIME Berhad yang dahulunya dikenali sebagai ANIH Berhad akan memulakan projek pelebaran Lebuh raya KL-Karak pada suku kedua 2025, selain Projek Mitigasi Banjir kini sedang berjalan di sepanjang LPT1.

Syarikat melaksanakan dua inisiatif infrastruktur utama tersebut bertujuan meningkatkan keselamatan lebuh raya, mengurangkan kesesakan, serta memperkukuh ketahanan terhadap impak perubahan iklim.

Projek Pelebaran Lebuhraya KL-Karak meliputi jajaran dari KM19.2 hingga KM64.5, antara Plaza Tol Gombak dan Plaza Tol Bentong. 

Selaras dengan peningkatan jumlah trafik yang berterusan, terutamanya pada hujung minggu dan musim perayaan, projek ini dirancang untuk memenuhi keperluan trafik masa hadapan, dengan penekanan terhadap aspek keselamatan serta kelancaran aliran trafik. 

Dengan jangka masa pembinaan selama 48 bulan, kerja-kerja persediaan termasuk pemotongan cerun, penaiktarafan sistem perparitan, mitigasi banjir, dan pembinaan tembok penahan kini sedang dijalankan. 

Pengarah Eksekutif AFA PRIME Berhad., Ir. Vijayaraj berkata, projek pelebaran ini bukan sahaja menambah kapasiti lebuh raya, tetapi melibatkan penilaian semula tentang bagaimana lebuh raya harus berfungsi demi rakyat dari segi kebolehpercayaan, keselamatan dan daya tahan jangka panjang. 

“Matlamat kami adalah untuk membina lebuh raya yang mampan dan bersedia untuk keperluan masa hadapan. 

“Kami telah memperkenalkan sistem pemantauan masa nyata, perancangan kontingensi, dan protokol tindak balas kecemasan bagi memastikan para pengguna jalan raya kekal selamat dan mendapat maklumat yang tepat walaupun semasa kerja-kerja pembinaan sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan.

Jelas beliau, ciri utama projek ini merangkumi penambahan satu lorong bagi setiap arah serta pelebaran bahu jalan daripada 2.5 meter kepada 3 meter di kedua-dua belah, selaras dengan garis panduan yang ditetapkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM). 

“Ini akan membolehkan bahu jalan diaktifkan secara fleksibel sebagai lorong pintar pada waktu puncak, sekali gus menambah bilangan lorong operasi dan meningkatkan kelancaran aliran trafik dengan ketara,” katanya. 

Vijayaraj berkata, bagi memperkukuhkan tindak balas kecemasan dan mengelakkan insiden sekunder, projek ini turut merangkumi penambahan lapan petak kecemasan baharu. 

“Kawasan ini akan membolehkan kenderaan yang mengalami kerosakan dialihkan dengan segera dari lorong aktif, sekali gus mengurangkan gangguan dan meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya. 

“Memandangkan Terowong Genting Sempah merupakan kawasan trafik tinggi, kerja-kerja pembinaan di kawasan ini akan dihadkan kepada luar waktu puncak sahaja. 

“Pencahayaan waktu malam akan dipertingkatkan dengan pemasangan lampu limpah (floodlight), manakala lampu sedia ada akan disusun semula bagi memastikan keberkesanan maksimum selepas projek disiapkan,” katanya. 

Seiring dengan projek pelebaran KLK yang akan datang, AFA PRIME Berhad telah memulakan kerja-kerja mitigasi banjir di sepanjang LPT1 bagi meningkatkan daya tahan terhadap perubahan iklim dan memastikan operasi lebuh raya berjalan lancar tanpa gangguan sewaktu cuaca ekstrem. 

Usaha berterusan ini merangkumi penilaian risiko menyeluruh, penaiktarafan sistem perparitan, serta penambahbaikan infrastruktur bagi mengurangkan risiko banjir kilat sepanjang laluan tersebut.

Untuk menguruskan trafik dengan berkesan sepanjang fasa pembinaan, AFA PRIME Berhad telah melantik Edgenta PROPEL Berhad sebagai rakan kongsi pengurusan trafik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN