PETALING JAYA: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) melaksanakan pelbagai inisiatif bagi mencapai sasaran 40 peratus menjelang 2030 bagi meningkatkan kadar penggunaan pengangkutan awam di negara ini yang kekal rendah pada paras 25 peratus.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Mohd. Azharuddin Mat Sah berkata, antara usaha yang sedang giat dijalankan termasuk penambahan bas baharu termasuk bas elektrik, serta perluasan perkhidmatan melalui inisiatif ‘Rapid on Demand’ (ROD).
“Selain itu, laluan baharu Transit Aliran Ringan (LRT) di Shah Alam turut dijadualkan dibuka menjelang hujung tahun ini.
“Pelaksanaan inisiatif itu dijangka mampu merancakkan lagi penggunaan pengangkutan awam menjelang hujung tahun ini, selari dengan komitmen kerajaan dalam memperkukuh sektor berkenaan,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama UN Global Compact Network Malaysia and Brunei (UNGCMYB), di sini hari ini.
Menurutnya, Prasarana turut menyokong inisiatif Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan usaha kerajaan dalam menyokong pengangkutan awam, antaranya menerusi penambahan lorong bas.
Sebelum ini, Zahid Hamidi memaklumkan kadar penggunaan pengangkutan awam di Malaysia kini berada pada tahap 25 peratus, jauh ketinggalan berbanding Singapura (67 peratus), Tokyo (73 peratus) dan Seoul (63 peratus).
Beliau berkata, perubahan sikap rakyat perlu disusuli dengan sistem pengangkutan yang dipercayai serta kempen kesedaran menyeluruh bagi mengubah landskap sedia ada.
“Saya sentiasa percaya bahawa sistem pengangkutan awam yang cekap bukan sahaja dapat melancarkan pergerakan harian rakyat, malah turut menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan sosial serta mobiliti yang inklusif di bandar mahupun di desa,” katanya.
Prasarana dan UNGCMYB akan melancarkan Vendor ESG Hub pada Ogos, sebuah platform digital khusus bagi menyediakan akses kepada latihan, alatan dan sumber berkaitan kelestarian alam sekitar kepada lebih 5,000 vendor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
Azharuddin berkata, pelancaran platform itu mencerminkan peranan Prasarana sebagai syarikat milik kerajaan (GLC) yang mendukung pembangunan mampan dalam industri pengangkutan awam negara.
“Peranan kami bukan sekadar menggerakkan orang ramai, tetapi juga membina ekosistem perniagaan yang lebih kukuh dengan menyokong pertumbuhan PKS dan menyumbang kepada penyampaian perkhidmatan yang lebih baik untuk rakyat.
“Vendor ESG Hub adalah antara usaha jangka panjang kami bagi membantu perniagaan tempatan berkembang secara mampan.
“Platform digital berkenaan bakal memanfaatkan vendor tempatan yang merangkumi 96 peratus daripada keseluruhan syarikat berdaftar di negara ini,” ujarnya. – UTUSAN