PETALING JAYA: Petronas Dagangan Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, PDB Growth Solutions Sdn. Bhd. (PGSSB) bekerjasama dengan Blueshark Ecosystem Sdn. Bhd. (BESB) menubuhkan Blueshark Malaysia Sdn. Bhd. (BMSB) yang bakal menjadi peneraju dalam pembangunan dan pengedaran motosikal elektrik dua roda (2W-EV) di Malaysia.
Selain pengedaran, BMSB juga akan mengendalikan perkhidmatan pertukaran bateri di stesen-stesen Petronas terpilih, menyediakan pilihan penukaran bateri pantas kepada penunggang individu, perniagaan dan pengendali armada.
Infrastruktur ini telah mula beroperasi di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor, dengan rancangan pengembangan secara berperingkat sedang dilaksanakan ke seluruh negara.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Dagangan, Azrul Osman Rani berkata, usaha sama ini merupakan langkah strategik bagi Petronas Dagangan dalam memperluaskan peranan kumpulan melebihi penawaran bahan api tradisional, ke arah penyelesaian mobiliti yang lebih bersih dan pintar.
“Ini mencerminkan evolusi kami sebagai rakan tenaga progresif yang komited untuk membuka ruang baharu dalam mobiliti harian, demi memberi nilai sebenar kepada pelanggan kami,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BESB, Jeff Chong berkata kerjasama ini akan mengukuhkan keseluruhan ekosistem motosikal elektrik dua roda di Malaysia serta mempercepatkan penggunaan EV, seiring matlamat mengurangkan pelepasan karbon.
“Dengan strategi pengembangan agresif, infrastruktur dipertingkat dan kerjasama industri yang kukuh, kami yakin dapat memacu Malaysia ke arah masa depan yang lebih cerah bersama Petronas,” katanya.
Bagi menyokong pelaksanaan berskala besar ini, BMSB akan bekerjasama rapat dengan dua rakan strategik utama iaitu Sharkgulf Technologies Group Limited (STGL) dan EP Blueshark Sdn. Bhd. (EPBSB).
STGL sebagai pembangun asal produk dan pembekal teknologi untuk platform Blueshark, akan membekalkan sistem bateri pintar, rangkaian kuasa bersambung dan keupayaan integrasi perisian manakala EPBSB akan memainkan peranan penting dalam proses pelokalan pengeluaran dan logistik bagi memenuhi keperluan pasaran Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif STGL, Tiger Liu berkata, kerjasama itu adalah pencapaian penting dalam usaha memperkukuh pembangunan mobiliti hijau di Malaysia.
“Kami percaya pengangkutan lestari bukan sekadar trend, malah satu tanggungjawab korporat yang perlu dipikul bersama. STGL komited untuk terus berinovasi dan meningkatkan pengalaman pengguna EV di Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif EPMB, Aidan Hamidon berkata, perjanjian itu menjadi detik penting dalam penglibatan EPMB dalam industri EV sejak 2022.
“Kerjasama ini dibina atas kepercayaan, visi bersama dan kekuatan saling melengkapi. Kami yakin sinergi ini mampu mempercepatkan agenda mobiliti hijau Malaysia melalui ekosistem EV pintar,” katanya. – UTUSAN