fbpx

Syarikat pemula, IKS  digalak ceburi pembangunan kenderaan elektrik

ADHAM Baba mencuba Skuter Elektrik Eclimo ES-11 di Putrajaya. - IHSAN MOSTI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi akan memberi tumpuan kepada pembangunan serta pengkomersialan ekosistem teknologi kenderaan elektrik (EV) tempatan bermula tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, untuk itu, beliau mengajak syarikat pemula serta industri kecil dan sederhana yang berminat untuk membantu mengembangkan industri berkenaan.

Beliau berkata, pengkomersialan itu akan digerakkan menerusi program Enabling Mobility Electrification for Green Technology (EMERGE) yang diterajui NanoMalaysia Bhd (NanoMalaysia).

“Kementerian mengenal pasti sistem penyimpanan tenaga boleh diperbaharui yang mesra alam  serta mampu mengurangkan penggunaan bahan api.

“Kami terus komited menjalin kerjasama rentas kementerian menerusi perkongsian kepakaran agensi di bawah kementerian iaitu NanoMalaysia,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Katanya, MOSTI sentiasa mencari penyelesaian berasaskan sains, teknologi dan inovasi dalam usaha mencapai sasaran negara neutral karbon menjelang tahun 2050.

Adham berkata, EMERGE bakal memposisikan Malaysia sebagai pengeluar teknologi EV dan fokus diberikan kepada kenderaan elektrik dua roda yang dibangunkan pengusaha EV tempatan.

Menurutnya, MOSTI bersama NanoMalaysia juga mengadakan beberapa sesi libat urus bersama pemain industri EV bagi berkongsi pengetahuan dan kepakaran dalam usaha memperkasakan sektor teknologi tenaga lestari ini.- UTUSAN

 

POPULAR

KOSMO! TERKINI