Pelabur disaran terima tawaran Felda ambil alih FGV pada RM1.30 sesaham - Utusan Malaysia

Pelabur disaran terima tawaran Felda ambil alih FGV pada RM1.30 sesaham

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemegang saham FGV Holdings (FGV) disaran supaya menerima tawaran pengambilalihan daripada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) pada harga RM1.30 sesaham.

Firma penyelidikan pasaran, TA Research berkata, tawaran tersebut adalah 26 peratus lebih tinggi daripada sasaran harga pihaknya untuk FGV tahun ini, pada RM1.03/saham.

“Berdasarkan pendapatan tahun kewangan 2025, ia membayangkan pemerolehan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) sekitar 15 kali.

“Ia merupakan diskaun 71.4 peratus berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) FGV sebanyak RM4.55/saham pada 2012, namun sejak percubaan penswastaan pertama oleh Felda pada Disember 2020, saham FGV terus didagangkan tidak menentu.

“Ia meningkat kepada RM1.46 pada Mei 2021 selepas bidaan pertama gagal, tetapi terus menurun selepas itu kepada RM1.13 pada 14 Mac 2025 dan RM1.01 pada 9 April 2025, iaitu penurunan sebanyak 22 peratus daripada harga tawaran.

“Percubaan kedua ini juga merupakan peluang kedua buat pelabur untuk merealisasikan nilai pelaburan mereka melalui tawaran tunai,” katanya dalam nota kajian semalam.

Media sebelum ini melaporkan Kerajaan Negeri Pahang secara rasmi menyertai usaha strategik Felda dalam pengambilalihan FGV, menjadikannya rakan kongsi utama dalam pelaksanaan penswastaan syarikat perladangan itu.

Felda pernah membuat tawaran sama pada 2020, juga pada harga RM1.30 sesaham namun usaha itu mencapai kurang daripada ambang penerimaan pemegang saham 90 peratus yang diperlukan.

Tambah firma, memandangkan potensi risiko harga selepas tawaran awam, pihaknya menasihati pemegang saham minoriti untuk menerima tawaran tersebut dan beralih kepada saham perladangan lain yang dinilai rendah, namun dengan kisah lebih menarik dan potensi pertumbuhan pendapatan tinggi.

Sementara itu, MIDF Research berkata, harga tawaran RM1.30 itu mewakili premium sebanyak 12 peratus berbanding anggaran nilai wajar mereka iaitu RM1.16.

“Felda dan pihak-pihak yang bertindak bersama (PACs) secara kolektif memegang kira-kira 86.93 peratus daripada jumlah saham FGV yang dikeluarkan.

“Tawaran pada harga RM1.30 sesaham, yang sama dengan bidaan pada 2020 bertujuan untuk meningkatkan pegangan mereka sekurang-kurangnya kepada 90 peratus, yang akan membolehkan Felda menyenaraikan FGV daripada pasaran saham,” katanya.

MIDF berkata, saham ini kini dinilai pada nisbah harga kepada pendapatan sebanyak 16.7 kali berdasarkan ramalan pendapatan sesaham bagi tahun kewangan 2025 sebanyak 7.6 sen, yang mana 8.6 peratus lebih rendah daripada purata PER sektor perladangan bersepadu iaitu 18.3 kali.

“Jika penilaian dibuat berdasarkan pendapatan tahun kewangan 2024, nisbah PER yang tersirat adalah sebanyak 17.2 kali.

“Walaupun nisbah PER tersirat sejarah dan hadapan ini adalah ketara di bawah purata lima tahun FGV sebanyak 21.7 kali dan ketinggalan berbanding penilaian sektor, kami melihat ini sebagai penanda aras yang adil memandangkan prospek syarikat yang bercampur-campur,” katanya.

MIDF berkata rasional di sebalik pengambilalihan ini mengukuhkan objektif Felda untuk memprivatisasi sepenuhnya FGV dan mengukuhkan pemilikan serta kawalan strategik ke atas kumpulan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN