PETALING JAYA: Pelabur asing meneruskan aliran masuk bersih mereka di Bursa Malaysia, berlanjutan kepada aliran belian dua minggu dengan mencatatkan aliran masuk bersih RM853.8 juta, kata MIDF Amanah Investment Bank Berhad.
Bank pelaburan berkata, ini menandakan minggu pertama aliran masuk asing bersih berturut-turut sejak September 2024.
Katanya, pelabur asing adalah pembeli bersih pada setiap hari dagangan, antara RM50.7 juta dan RM340.8 juta.
“Jumaat menyaksikan aliran masuk asing bersih tertinggi, diikuti Khamis yang menyaksikan aliran masuk bersih masing-masing RM340.8 juta dan RM325.2 juta.
“Tiga sektor yang mencatatkan aliran masuk asing bersih tertinggi ialah perkhidmatan kewangan (RM567.4 juta), penjagaan kesihatan (RM124.8 juta) dan produk dan perkhidmatan perindustrian (RM107.9 juta).
“Hanya dua sektor yang mencatatkan aliran keluar bersih asing ialah tenaga (RM31.9 juta) dan perladangan (RM6.0 juta),” katanya dalam Laporan Aliran Dana minggu berakhir 2 Mei 2025.
MIDF berkata, institusi tempatan juga melanjutkan rentetan jualan bersih mereka kepada dua minggu berturut-turut, dengan aliran keluar berjumlah RM692.6 juta.
Katanya, ini merupakan minggu kedua berturut-turut jualan bersih oleh institusi tempatan sejak 24 Ogos.
“Sementara itu, pelabur runcit tempatan melanjutkan aliran jualan bersih mereka kepada tiga minggu, dengan aliran keluar RM161.2 juta, hampir 2.5 kali lebih daripada aliran keluar minggu sebelumnya.
“Purata volum dagangan harian (ADTV) menyaksikan peningkatan secara meluas minggu lepas,” ujarnya.
Bank pelaburan berkata, institusi tempatan dan peruncit tempatan menyaksikan peningkatan masing-masing 8.7 peratus dan 5.7 peratus, manakala pelabur asing menyaksikan peningkatan sebanyak 26.0 peratus. – UTUSAN