PETALING JAYA: Nuren Group Limited (Nuren) mengumumkan hasrat strategiknya untuk disenaraikan di Bursa Saham Nasdaq di Amerika Syarikat (AS), menandakan fasa baharu dalam perjalanan pertumbuhannya.
Langkah ini meletakkan platform digital terkemuka di Asia Tenggara untuk golongan wanita itu dalam kedudukan terbaik untuk memperluas capaian pelabur, mengakses modal institusi yang lebih mendalam dan meningkatkan impaknya di pasaran global.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Petrina Goh berkata, ini lebih daripada sekadar penyenaraian dan ia adalah lonjakan strategik dalam misi syarikat untuk membina ekosistem paling dipercayai di Asia Tenggara untuk wanita, dari perkahwinan hingga ke keibuan.
“Penyenaraian di Nasdaq membolehkan kami memperkasakan tujuan kami, berinteraksi dengan pasaran modal antarabangsa dan meraih tahap keterlihatan, penilaian dan kepercayaan yang baharu,” katanya dalam kenyataan.
Bagi menyokong aspirasi ini, Nuren telah melantik ZICO Evolve Capital Sdn. Bhd. (dahulunya dikenali sebagai ZICO Capital Sdn. Bhd.) sebagai penasihat kewangan bagi penstrukturan tawaran awam permulaan (IPO) dan kesediaan penyenaraian.
ZICO Evolve Capital akan menyediakan panduan berkaitan strategi pasaran modal, struktur modal, penyelarasan pihak profesional dan pencapaian peringkat persediaan penting untuk penyenaraian yang berjaya di Amerika Syarikat.
Petrina berkata, langkah ini bukan sahaja menggambarkan arah tuju syarikat, tetapi juga siapa yang Nuren ingin jadi di pentas dunia.
“Kami komited untuk berkembang dengan tujuan dan penyenaraian ini adalah tonggak utama dalam perjalanan tersebut,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif ZICO Evolve Capital dan ZICO, Chew Seng Kok berkata, Nuren Group merupakan contoh syarikat berimpak tinggi dan berpandangan jauh yang menarik minat pelabur global terutamanya di Nasdaq.
“Kami berbesar hati untuk bekerjasama rapat dengan pasukan Nuren bagi membuka akses kepada modal, keterlihatan jenama antarabangsa dan pelan pertumbuhan jangka panjang,” jelasnya.
Ditubuhkan pada 2013 oleh Petrina, Nuren Group berdiri sebagai peneraju utama Malaysia platform keibubapaan, khusus untuk memperkasakan wanita dalam bidang keibubapaan, pendidikan dan kesihatan bersalin.
Sebagai platform digital yang memfokuskan kepada wanita dan memiliki jenama popular seperti Motherhood.com.my, Ibuencer.com, dan Kelabmama.com, Nuren Group berada dalam kedudukan kukuh untuk menarik minat pelabur dalam sektor keibubapaan, media digital, e-dagang dan kesihatan wanita.
Penyenaraian di Nasdaq dijangka akan membuka peluang untuk pengumpulan dana dalam dolar AS, pengambilalihan rentas sempadan dan perkongsian strategik antarabangsa, sekali gus mempercepatkan keupayaan Nuren untuk memperluas inovasi dan impak ke pasaran baharu. – UTUSAN