Myra Tenuman, perbandaran dengan elemen hijau

Myra Tenuman, perbandaran dengan elemen hijau

MYRA Tenuman dirancang sebagai perbandaran bersepadu yang menggabungkan rumah bertanah premium, pangsapuri servis, zon komersial berorientasikan komuniti serta ruang awam berkonsep reka tempat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ORIENTAL Interest Bhd. (OIB) menawarkan Myra Tenuman, sebuah projek perbandaran baharu di Alam Impian, Shah Alam, Selangor yang bakal menjadi penanda aras kepada gaya hidup bandar berteraskan komuniti di Lembah Klang.

Kawasan seluas 28.32 hektar dengan unjuran nilai pembangunan kasar (GDV) mencecah RM1 bilion itu dijangka siap untuk fasa pertama menjelang Jun 2027.

Myra Tenuman dirancang sebagai perbandaran bersepadu yang menggabungkan rumah bertanah premium, pangsapuri servis, zon komersial berorientasikan komuniti serta ruang awam berkonsep reka tempat.

Pelan induk projek itu turut menitikberatkan elemen hijau dengan jaringan koridor semula jadi, taman poket dan ruang awam bagi mewujudkan suasana mesra keluarga merentasi generasi.

Ketua Bahagian Pembangunan dan Sumber Manusia Myra, Akil Hassan berkata, tawaran pertama rumah bertanah akan diumumkan menerusi koleksi Halaman, yang merangkumi 54 unit rumah berkembar dan 16 unit banglo dengan anggaran GDV sebanyak RM165.5 juta.

“Semua unit berstatus pegangan bebas dan hak milik individu, memberikan jaminan pemilikan jangka panjang serta fleksibiliti untuk pengubahsuaian pada masa hadapan.

“Direka oleh Tangu Architecture, koleksi Halaman menampilkan konsep perkampungan hijau yang meraikan keterbukaan, keterhubungan dan keharmonian dengan alam semula jadi,” katanya pada majlis pelancaran Myra Tenuman, baru-baru ini. 

Akil berkata, unit banglo akan dibina atas lot tanah berkeluasan antara 6,652 kaki persegi hingga 8,826 kaki persegi, dengan keluasan binaan sehingga 3,982 kaki persegi dan harga bermula daripada RM3 juta.

Bagi unit berkembar pula, lot tanah berkeluasan antara 4,166 kaki persegi hingga 7,535 kaki persegi ditawarkan, dengan keluasan binaan mencecah 3,376 kaki persegi dan harga permulaan sekitar RM2 juta.

“Setiap kediaman direka dengan susun atur pelan terbuka, bukaan tingkap luas dan peralihan lancar antara ruang dalaman dan luaran bagi meningkatkan keselesaan harian.

“Gaya seni binanya juga menitikberatkan kefungsian, kebolehsuaian dan kelestarian, dengan elemen reka bentuk yang peka terhadap budaya serta persekitaran,” katanya.

Myra Tenuman mewakili lot terakhir Myra di Alam Impian dan dilaksanakan dengan kerjasama pemilik tanah dan rakan kongsi Naza TTDI dan Triterra, sekali gus mengukuhkan kedudukan kawasan ini sebagai satu daripada koridor pinggir bandar paling bernilai di Shah Alam.

Akıl menambah, komitmen terhadap reka bentuk yang bernas dan berpaksikan manusia menjadi teras kepada identiti pembangunan ini, menjadikan Myra Tenuman bukan sekadar sebuah perkampungan kediaman, tetapi sebuah perbandaran yang dibentuk dengan penuh niat dan tujuan.

“Rekaan halaman bukan hanya tentang bentuk atau fungsi, ia juga tentang perasaan. 

“Kami bertanya kepada diri sendiri bagaimana ruang boleh mencipta rasa kepunyaan dan ‘pulang ke rumah’. Daripada perkadaran ruang tamu hingga cara cahaya matahari bergerak melalui rumah, setiap perincian bertujuan untuk meningkatkan kehidupan seharian secara senyap-senyap. 

“Ia adalah tafsiran moden mengenai keselesaan yang berakar pada kebiasaan”, katanya. 

Sementara itu, bagi menjadikan pemilikan rumah lebih mudah diakses dan disesuaikan, Myra bekerjasama dengan Kumpulan Perbankan RHB (RHB) untuk memperkenalkan pakej pinjaman dan pembiayaan rumah dan pengubahsuaian, menandakan kerjasama pertama RHB seumpama ini dengan pemaju hartanah.

Myra adalah jenama kediaman OIB yang terkenal dengan pembangunan rumah yang mengimbangi kefungsian, fleksibiliti dan reka bentuk yang teliti.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN