PETALING JAYA: Lebih 65 peratus pemegang ijazah di negara ini memperoleh gaji bulanan di bawah RM3,000, sekali gus memperoleh pendapatan ‘cukup-cukup makan’ tanpa ruang untuk menyimpan, melabur, atau meningkatkan mobiliti sosial mereka.
Menerusi kajian dijalankan oleh Malaysia Labour Market Insight Series, lebih 70 peratus siswazah di negara ini didapati terpaksa bekerja dalam sektor separa mahir dan tidak mahir.
Pengarang laporan, Dr. Mohd. Yusof Saari berkata, model pekerjaan siswazah Malaysia kini berdepan krisis struktur yang mendalam di mana pendidikan tinggi tidak lagi menjamin pulangan upah yang bermakna.
“Ia juga membongkar realiti yang meskipun kadar kebolehpasaran siswazah sering dilaporkan melebihi 80 peratus, angka terbabit boleh mengelirukan kerana ia merangkumi semua bentuk pekerjaan, tanpa mengambil kira padanan kemahiran atau tahap upah.
“Hakikatnya lebih 65 peratus pemegang ijazah di negara ini memperoleh gaji bulanan di bawah RM3,000,” katanya menerusi laporan kajian bertajuk The ‘Gaji Cukup Makan’ Economy: When Higher Education Becomes an Economic Risk.
Pada masa sama, Mohd Yusof berkata, ketidakpadanan yang meluas antara kelayakan akademik dan pekerjaan, mencerminkan kemerosotan serius dalam pulangan pelaburan pendidikan tinggi.
Walaupun isu ketidakpadanan siswazah turut berlaku di negara maju, keadaan di Malaysia menjadi lebih teruk disebabkan paras gaji yang rendah.
“Ia sekali gus tidak memberi ruang perlindungan kepada mereka yang terbabit dalam pekerjaan di bawah kelayakan.
“Ini menyebabkan ketidakpadanan di Malaysia memberi kesan ekonomi yang lebih mendalam, mengehadkan mobiliti sosial dan mengurangkan minat untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, khususnya dalam kalangan golongan berpendapatan rendah dan sederhana,” katanya.
Dalam konteks ini, keputusan untuk melanjutkan pelajaran semakin berisiko dari sudut ekonomi, khususnya bagi belia yang perlu menanggung kos pendidikan yang semakin tinggi, sedangkan pulangan gaji yang diterima tidak setimpal.
Katanya, jurang yang semakin melebar antara kelayakan, kualiti pekerjaan dan ganjaran ini mencabar kepercayaan tradisional bahawa pendidikan adalah laluan kepada mobiliti sosial.
“Laporan ini mengenal pasti punca utama kepada krisis ini, antaranya pertumbuhan gaji yang perlahan, kelemahan dalam penyediaan pra-pekerjaan, dan permintaan kemahiran yang lemah dari sektor swasta.
“Faktor terbabit mewujudkan trajektori gaji yang mendatar dan tertangguh, di mana siswazah gagal membezakan diri mereka dari segi pendapatan berbanding bukan siswazah terutama pada fasa awal kerjaya,” katanya.
Bagi menangani isu struktur ini, laporan terbabit mencadangkan beberapa langkah reformasi berani, termasuk menggantikan indikator kebolehpasaran yang mengelirukan dengan ukuran padanan kemahiran.
“Perlu diwujudkan sistem penjejakan hasil siswazah jangka panjan,; menyusun semula program latihan industri dan laluan pra-pekerjaan serta memacu pemodenan industri dan reka bentuk semula pekerjaan.
“Kerajaan juga perlu memperkenalkan garis panduan upah sebagai alat penasihat bagi menangani tekanan gaji rendah.
“Laporan ini turut mengemukakan satu kerangka dasar holistik yang mengintegrasikan perancangan pendidikan, permintaan pasaran buruh dan hasil upah, melangkaui pendekatan berpecah-pecah kepada strategi nasional berasaskan hasil yang lebih padu dan terselaras,” katanya.
Beliau berkata, laporan itu menyediakan perspektif makro terhadap cabaran struktur dalam pasaran buruh siswazah di Malaysia, serta menawarkan diagnosis menyeluruh mengenai penindasan gaji, ketidakpadanan kemahiran dan ketidakcekapan dalam laluan pendidikan-ke-pekerjaan.
Katanya, di samping menyorot jurang dasar yang kritikal, laporan terbabit turut menggesa kajian lanjut secara mendalam supaya penemuan itu dapat diterjemahkan kepada reformasi yang lebih bersasar dan berimpak tinggi.
“Langkah susulan ini penting bagi merangka campur tangan dasar yang sesuai, berasaskan realiti siswazah merentasi pelbagai sektor, kumpulan demografi dan laluan pendidikan.
“Apabila gaji siswazah hampir setara dengan bukan siswazah, pelaburan dalam pendidikan tinggi bukan lagi jaminan mobiliti sosial, ia kini menjadi satu risiko ekonomi,” katanya. – UTUSAN










