Kerajaan perlu pertingkat libat urus dengan PKS rangka dasar buruh - Utusan Malaysia

Kerajaan perlu pertingkat libat urus dengan PKS rangka dasar buruh

WILLIAM NG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan mempertingkatkan libat urus dengan Perusahaan Kecil dan Sederhana Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta pihak berkepentingan lain dalam merangka dasar buruh yang lebih seimbang, menurut Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta). 

Presidennya, Datuk William Ng berkata, dasar buruh perlu dilaksanakan secara berperingkat, dengan rundingan yang mencukupi, mekanisme sokongan yang sesuai serta tempoh transisi yang munasabah. 

“Reformasi buruh harus memperkukuhkan dan bukannya melemahkan ekonomi negara PKS perlu dibantu untuk menyesuaikan diri dengan peningkatan standard pekerja melalui program peningkatan produktiviti, sokongan automasi dan pembangunan kapasiti yang bersasar,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, sektor PKS menyumbang 38 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dan menyediakan 48 peratus daripada jumlah pekerjaan.

“PKS menawarkan peluang pekerjaan merentasi pelbagai tahap kemahiran dan kelayakan. Ketika kita melangkah ke arah visi Ekonomi Madani adalah penting untuk kita memperkukuhkan kedua-dua golongan pekerja serta PKS yang menjadi tunjang sokongan mereka,” katanya. 

William berkata, kerajaan telah memperkenalkan pelbagai inisiatif yang bertujuan meningkatkan standard buruh negara dan menambah baik pendapatan pekerja. 

“Program seperti model gaji progresif, peluasan perlindungan keselamatan sosial dan inisiatif peningkatan kemahiran jelas menunjukkan komitmen kerajaan untuk memperkasakan tenaga kerja negara. 

“Usaha-usaha ini penting agar tiada rakyat Malaysia yang tercicir dalam perjalanan kita ke arah menjadi negara berpendapatan tinggi. Namun begitu, pihaknya juga perlu sedar bahawa inisiatif yang baik ini turut memberikan tekanan besar kepada PKS,” katanya. 

Jelas beliau, peningkatan kos pematuhan, beban pentadbiran yang bertambah, serta tekanan kenaikan upah tanpa peningkatan produktiviti atau sokongan yang sepadan berisiko melemahkan PKS yang merupakan penyumbang utama peluang pekerjaan di Malaysia. 

“Tidak seperti syarikat besar, PKS beroperasi dengan margin keuntungan yang amat kecil dan mempunyai kapasiti yang terhad untuk menampung perubahan peraturan yang mendadak,” katanya. 

Dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, kadar pelaksanaan reformasi buruh di Malaysia adalah antara yang terpantas di ASEAN. 

Sebaliknya, William berkata, negara-negara seperti Thailand, Vietnam dan juga Singapura memperkenalkan perubahan struktur secara lebih beransur-ansur, memberi ruang kepada perniagaan untuk menyesuaikan diri, mengadaptasi teknologi baharu dan menaik taraf tenaga kerja mereka seiring.

“Sebagai contoh, Singapura memperkenalkan Majlis Gaji Kebangsaan pada 1972, model gaji progresif pada 2012 dan program ‘Skills Future’ pada 2015, setiap langkah diperkenalkan dengan tempoh masa yang mencukupi untuk membolehkan perniagaan terutamanya PKS, menyediakan diri untuk perubahan tersebut. 

“Malah, Singapura melaksanakan Skim Tambahan Pendapatan Pekerja yang memberikan bantuan kewangan langsung kepada pekerja berpendapatan rendah, bagi mengelakkan beban kenaikan gaji yang berlebihan ke atas PKS. 

“Walaupun situasi Malaysia adalah unik dan kita tidak boleh meminjam sepenuhnya pendekatan negara jiran, kita perlu berhati-hati agar tidak memampatkan 40 tahun reformasi buruh dalam masa hanya empat tahun,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya