PETALING JAYA: Kerajaan akan menggunakan Standard Mandatori Mengenai Harga Capaian (MSAP) bagi memastikan perkhidmatan 5G kekal mampu milik dan pantas, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau berkata, mekanisme tersebut dapat memastikan harga kekal kompetitif dan akan dikaji semula setiap dua hingga tiga tahun.
“Selain itu, a juga membolehkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memastikan pengguna mendapat harga yang lebih baik pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani perjanjian antara U Mobile Sdn. Bhd. dan Telekom Malaysia (TM) merasmikan pelantikan TM sebagai rakan kongsi gentian backhaul utama U Mobile.
Menerusi perjanjian kerjasama bernilai RM2.4 bilion untuk tempoh 10 tahun itu, TM akan menyediakan U Mobile dengan perkhidmatan infrastruktur backhaul, termasuk akses talian pajakan gentian ke rangkaian capaian radio 5G U Mobile, pusat data dan pemajakan kemudahan tepi TM untuk titik sambungan.
Tahun lepas, U Mobile yang dipengerusikan oleh Vincent Tan telah dipilih untuk melaksanakan rangkaian 5G kedua negara.
Menurut Fahmi, U Mobile dan Digital Nasional Bhd. (DNB) akan memanfaatkan rangkaian gentian meluas TM, seterusnya memastikan kos terurus.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif U Mobile Wong Heang Tuck berkata, memandangkan TM memiliki liputan yang meluas di Malaysia, pelantikan tersebut membolehkan U Mobile mempercepatkan lagi perluasan rangkaian 5G.
“Bersama TM dan rakan-rakan strategik lain, kami komited untuk mencapai 80 peratus liputan kawasan berpenduduk dalam tempoh 12 bulan.
“Dengan penyelesaian backhaul komprehensif TM, U Mobile akan dapat mempercepatkan penggunaan rangkaian kami di seluruh negara sambil memastikan ketersediaan tinggi, daya tahan yang baik, kependaman ultra-rendah dan lebar jalur yang tinggi,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Amar Huzaimi Md Deris berkata, kerjasama ini mencerminkan komitmen TM dalam membina infrastruktur inklusif dan bersedia untuk masa depan yang turut menyemarakkan inovasi, mempertingkatkan keterhubungan dan memacu kemajuan digital di seluruh negara.
“Ini adalah sejajar dengan peranan TM sebagai pemboleh Digital Malaysia tonggak kepada aspirasi kami untuk menjadi ‘Digital Powerhouse’ menjelang 2030,” katanya. – UTUSAN