SHAH ALAM: Pejabat Menteri Besar Selangor menafikan penjawat awam negeri ini boleh menyertai Himpunan Turun Anwar yang dianjurkan oleh Perikatan Nasional (PN) esok seperti dilaporkan akhbar ini.
Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, Jay Jay Denis berkata, perkara itu tidak disebut sama sekali oleh Amirudin.
Menurutnya, laporan tersebut didakwa memberikan gambaran silap kepada pasukan penjawat awam Selangor.
“Sebaliknya, Menteri Besar menjelaskan bahawa pasukan penjawat awam sewajarnya menjaga etika, jangan melanggar batas, dan sentiasa kekal profesional selaras dengan piagam perkhidmatan awam,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Terdahulu petang tadi Utusan Malaysia melaporkan Kerajaan Selangor tidak menghalang penjawat awamnya menyertai Himpunan Turun Anwar di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, esok.
Amirudin berkata, bagaimanapun beliau menasihatkan supaya kakitangan awam menjaga tingkah laku dan tindakan mereka sepanjang berlangsungnya perhimpunan berkenaan.
“Tidak ada pekeliling yang dikeluarkan untuk hal itu. Namun, penjawat awam harus patuh dengan arahan pihak pentadbir (berkuasa) dan tidak mengeluarkan kenyataan jelek secara terbuka.
“Saya yakin penjawat awam di Selangor tahu batas serta garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa berhubung penyertaan seseorang individu dalam sesebuah perhimpunan aman,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Buku Kanak-Kanak Selangor 2025, hari ini. – UTUSAN










