KDNK 2025 dijangka sederhana antara 4.0 hingga 4.4 peratus - Utusan Malaysia

KDNK 2025 dijangka sederhana antara 4.0 hingga 4.4 peratus

EKONOMI MAlaysia dijangka menyederhana pada tahun ini di antara 4.0 hingga 4.5 peratus.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dijangka menyederhana pada 4.0 peratus hingga 4.4 peratus tahun ini, mencerminkan risiko seimbang daripada ketidaktentuan perdagangan dan potensi perkembangan positif dalam rundingan perdagangan.

Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (INCIEF), Prof. Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, haja tuju ekonomi ketika ini masih sukar diramal berikutan perang tarif yang masih lagi berlangsung.

“Unjuran saya mungkin tidak lari jauh antara 4.2 peratus hingga 4.4 peratus untuk pertumbuhan KDNK keseluruhan tahun ini.

“Ketidaktentuan masih ada dalam ekonomi. Jumlah tersebut tidaklah terlalu rendah dan ekonomi negara akan kekal berdaya tahan walaupun dengan angka tarif yang dikenakan kerana ia masih rendah berbanding negara lain seperti Vietnam,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambahnya, ekonomi negara juga akan terus dipacu oleh permintaan domestik terutamanya selepas Bank Negara Malaysia (BNM) telah memotong keperluan rizab berkanun (SRR) dari dua peratus ke satu peratus baru-baru ini.

“Ini bermakna lebih banyak kecairan yang boleh ditawarkan oleh bank perdagangan ke dalam pasaran,” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Ekonomi Kanannya CIMB Securities Sdn. Bhd. Vincent Loo mengekalkan unjuran KDNK Malaysia pada 4.0 peratus pada 2025 manakala lebihan akaun semasa pada 2.0 peratus daripada KDNK, berbanding 1.7 peratus pada 2024.

Ujarnya, tinjauan pertumbuhan Malaysia kekal terjejas oleh ketidaktentuan luaran, terutamanya peralihan dasar perdagangan AS yang berterusan.

Katanya, penangguhan 90 hari pada tarif AS menawarkan sokongan sementara untuk pemunggahan awal eksport, terutamanya barangan perkilangan, manakala 32 peratus daripada jumlah produk eksport Malaysia kekal dikecualikan daripada tarif.

“Walau bagaimanapun, ketidakpastian yang berpanjangan boleh menjejaskan pelaburan dan pengambilan pekerja, melemahkan momentum pertumbuhan.

“Oleh itu, kami mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK setahun penuh kami pada 4.0 peratus, mencerminkan risiko penurunan akibat permintaan luar yang lemah dan potensi limpahan kepada ekonomi domestik.

“Namun begitu, potensi peningkatan wujud sekiranya Malaysia dan AS memperoleh perjanjian perdagangan dalam tempoh 90 hari, terutamanya di tengah-tengah perkembangan positif dalam rundingan perdagangan AS-China dan AS-United Kingdom,” katanya dalam nota penyelidikan.

Beliau berkata, KDNK suku pertama 2025 meningkat 4.4 peratus tahun ke tahun (suku keempat 2024: 4.9 peratus tahun ke tahun), sejajar dengan anggaran awal tetapi sedikit di bawah jangkaan pasaran.

“Pertumbuhan aktiviti ekonomi bulanan melonjak kepada enam peratus tahun ke tahun pada Mac, selepas mencatatkan 3.5 peratus ke 3.6 peratus pada Januari dan Februari 2025, mencerminkan peningkatan perbelanjaan perayaan berikutan cuti Hari Raya yang lebih awal.

“Dari segi pelarasan bermusim, KDNK sebenar pulih kepada pertumbuhan 0.7 peratus suku ke suku pada suku pertama 2025 (suku keempat 2024: -0.2 peratus) disokong oleh permintaan domestik dan eksport bersih yang lebih tinggi,” ujarnya.

Tambahnya, permintaan luar menjadi perlahan berikutan ketidaktentuan perdagangan manakala permintaan dalam negeri kekal berdaya tahan dalam keadaan penggunaan yang stabil dan pelaburan yang teguh.

“Lebihan akaun semasa melebar kepada 3.4 peratus daripada KDNK pada suku pertama 2025 (suku keempat 2024: 2.6 peratus) apabila import yang lebih rendah menyebabkan lebihan barangan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN