IJM Land kekalkan elemen sejarah dalam pembangunan Taman Bandar Pantai Sentral Park - Utusan Malaysia

IJM Land kekalkan elemen sejarah dalam pembangunan Taman Bandar Pantai Sentral Park

FAHMI Fadzil (dua kanan) semasa majlis pecah tanah Taman Rimba Bukit Kerinchi @ Pantai Sentral Park di sini, hari ini. UTUSAN/SABRINA ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah digalakkan untuk mengekalkan elemen sejarah dalam setiap pembangunan semula bandar bagi memastikan warisan komuniti setempat terus terpelihara.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kawasan yang melalui proses pembangunan semula lazimnya mempunyai komuniti lama yang telah berakar umbi sejak turun-temurun.

“Saya harap sebahagian daripada kawasan yang dibangunkan ini dapat mempunyai struktur awam yang mengingatkan kita kepada sejarah komuniti tersebut.

“Kita bukan hanya bercakap soal fizikal atau kemajuan semata-mata, tetapi juga soal inklusiviti dan pemeliharaan identiti asal kawasan,” katanya pada majlis pecah tanah Taman Rimba Bukit Kerinchi @ Pantai Sentral Park di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Pengarah Eksekutif (Perancangan) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Zulkurnain, Hassan dan Pengarah merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Amona, Datuk Che Hasnadi Che Hassan.

Terletak secara strategik di antara Taman Pantai Sentral dan hutan seluas 101.98 hektar (terdiri daripada 65.9638 hektar Taman Rimba Bukit Kerinchi, Kuala Lumpur dan 36 hektar Bukit Gasing, Petaling Jaya), Taman Bandar ini direka sebagai titik pertemuan komuniti yang meriah yang menghubungkan kehidupan bandar dengan alam semula jadi.

Ia akan memberi perkhidmatan kepada penduduk Taman Pantai Sentral dan kawasan kejiranan berdekatan termasuk Pantai Dalam, Bangsar South, Bangsar, Mid Valley dan Damansara, menawarkan percutian hijau yang sangat diperlukan di tengah-tengah bandar.

Terbuka kepada orang ramai, taman seluas 0.34 hektar ini akan menampilkan denai pejalan kaki, ruang perhimpunan komunal, kawasan berlorek, dan akan berfungsi sebagai akses ketiga terus ke laluan mendaki sedia ada dalam Taman Rimba Bukit Kerinchi.

Sorotan utama ialah laluan ‘Ribbon of Life’, ciri yang baru diperkenalkan dalam pelan induk disemak semula yang membolehkan akses mudah berjalan kaki merentasi Taman Pantai Sentral dan menyediakan pautan terus ke stesen MRT3 yang akan datang.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, pembangunan kawasan seperti di Pantai Sentral Park perlu dilakukan secara seimbang agar tidak meminggirkan penduduk asal termasuk komuniti B40 di sekitar kawasan seperti Kampung Kerinchi dan Taman Bukit Angkasa.

Beliau turut menekankan kepentingan memastikan taman-taman bandar bukan sahaja dibangunkan dengan landskap moden, tetapi turut mengandungi elemen semula jadi tempatan serta akses terbuka untuk semua lapisan masyarakat.

Dalam pada itu, beliau memuji usaha IJM Land yang menjemput arkitek landskap untuk menjayakan projek berkenaan, serta sokongan DBKL dalam inisiatif penanaman semula (rewilding) dengan menanam semula pokok-pokok hutan asli di kawasan itu.

Antaranya termasuk Meranti Damar, Meranti Daun, Merawan Siput Jantan, Kayu Arang, Salam, Mampat dan Beruas, supaya kawasan tersebut bukan sahaja menjadi ruang rekreasi, tetapi juga habitat kepada flora dan fauna tempatan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IJM Land, Datuk Tony Ling berkata, projek tersebut dijangka siap pada hujung tahun ini.

“Lebih daripada sekadar pemandangan semula jadi dan ruang hijau, Taman Bandar ini akan menjadi titik pertemuan untuk komuniti.

“Dengan kemudahan akses ini, kami berharap dapat menggalakkan lebih ramai orang meneroka dan menghargai keindahan alam semula jadi yang wujud di tengah-tengah bandar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN