Hotel Tenera Bangi disah halal, tarik pelanggan

Hotel Tenera Bangi disah halal, tarik pelanggan

ALIFF Firdaus Mohd. Rujhan menunjukkan hidangan buffet Dimsum yang turut mendapat pengesahan halal Jakim baru-baru ini. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Dalam usaha memperkukuh kepercayaan pelanggan dan mengekalkan standard operasi selari dengan kehendak syarak, Hotel Tenera Bangi memperoleh pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) baru-baru ini. 

Eksekutif Halal Tenera Hotel Bangi, Nurul Ain Syamimi Naser berkata, sijil halal bukan sekadar lesen berniaga, malah menjadi jaminan bahawa semua bahan mentah digunakan adalah bersih, suci dan mematuhi syarak.

“Apabila kami ada sijil halal daripada Jakim, pelanggan terutama dari sektor kerajaan dan korporat lebih yakin untuk mengadakan sebarang acara atau tempahan di sini. 

“Pemantauan daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) juga membantu kami kekal konsisten dalam amalan halal,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Jelas Nurul Ain, permohonan pensijilan halal mengambil masa kira-kira enam bulan lalu dan kepercayaan pelanggan juga semakin meningkat. 

“Apabila kita mematuhi syarat halal sepenuhnya, bukan saja pelancong dan penginap tempatan percaya, tetapi pasaran luar juga lebih dekat untuk bekerjasama dengan kami.

“Pensijilan halal ini penting kepada keperluan industri untuk bertahan dan berkembang,” ujarnya.

Dengan penekanan pada kualiti dan kehalalan operasi dapur serta restoran, Hotel Tenera Bangi terus tampil sebagai pilihan utama bukan hanya untuk penginapan, tetapi juga untuk acara dan fungsi yang memerlukan keyakinan tinggi terhadap pematuhan syariah.

Pihak hotel turut mengakui sambutan daripada pelanggan sangat menggalakkan selepas memperoleh sijil halal dan mereka kini lebih yakin memilih hotel yang mematuhi sepenuhnya garis panduan halal untuk sebarang majlis, konvensyen mahupun acara rasmi kerajaan mahupun korporat. 

Sementara itu, Chef de Partie Kanan Hotel Tenera, Aliff Firdaus Mohd. Rujhan berkata, pihaknya mengamalkan piawaian halal yang menyeluruh meliputi dapur, restoran serta penyediaan majlis dan acara korporat.

“Di Hotel Tenera, kami turut memastikan bahawa semua pembekal seperti ayam, udang serta bahan untuk penyediaan dimsum dan sarapan adalah daripada sumber yang sah dan halal. 

“Dimsum yang ditawarkan di hotel ini kini mencecah lebih 30 jenis, dengan permintaan tinggi terutama pada hujung minggu melalui ‘walk-in’ dan buffet serendah RM58,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN