PETALING JAYA: Gamuda Berhad (Gamuda) melupuskan tanah seluas 157.4 hektar di Port Dickson pada harga RM455.23 juta dan menjalankan kerja pembinaan pusat data berskala besar dengan nilai pembangunan berjumlah RM1 bilion.
Gamuda berkata, anak syarikatnya, Gamuda DC Infrastructure Sdn. Bhd. telah menandatangani perjanjian jual beli (SPA) dan kontrak infrastruktur luaran dengan Pearl Computing Pearl Computing Malaysia Sdn. Bhd., syarikat berkaitan Google minggu lalu.
“Perjanjian tersebut melibatkan penjualan tanah seluas kira-kira 157.4 hektar dengan nilai RM455.23 juta serta pelaksanaan kerja-kerja sokongan, termasuk kerja tanah dan infrastruktur luaran untuk pembangunan pusat data yang dianggarkan bernilai RM1.01 bilion.
“Pembangunan itu akan merangkumi loji rawatan air baharu dengan kapasiti 65 juta liter sehari yang dijangka siap pada suku kedua 2027.
“Selain itu, kemudahan simpanan luar sungai akan dibina menjelang suku keempat 2028 untuk memastikan bekalan air berterusan semasa musim kemarau dan mengurangkan risiko pencemaran.
“Paip juga akan disambung dari loji ke takungan perkhidmatan bagi pusat data tersebut,” katanya dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia.
Jelasnya, ia merangkumi penyelesaian sehenti syarikat dalam sektor pusat data, meliputi pembangunan tanah, kerja awam, utiliti dan infrastruktur air untuk menyediakan tapak sedia bina kepada pelanggan berskala besar.
“Pendekatan tersebut yang disokong oleh kepakaran kejuruteraan dan sistem bangunan berindustri maju milik mereka, mempercepatkan pembinaan dengan pembuatan yang tepat.
“Ia mengurangkan risiko, mempercepatkan masa siap, memastikan kualiti serta kawalan kos, menjadikan syarikat sebagai rakan kongsi utama dalam ekonomi digital,” katanya.
Penjualan tanah tersebut dijangka dimuktamadkan pada suku keempat 2025, selepas semua syarat dipenuhi atau diketepikan mengikut terma-terma SPA.
Saham Gamuda turun lapan sen atau 1.8 peratus kepada RM4.32 pada rehat tengah hari Isnin, memberikan syarikat itu permodalan pasaran sebanyak RM24.9 bilion. Saham syarikat telah susut 8.3 peratus setakat tahun ini. – UTUSAN