PETALING JAYA: Langkah menetapkan hanya sarung tangan getah yang diproses dan dihasilkan sepenuhnya di Malaysia layak dieksport dengan sijil asal negara merupakan usaha tepat bagi melindungi integriti industri itu.
Presiden Persatuan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA), Oon Kim Hung berkata, pengeksportan semula sarung tangan siap yang hanya transit di Malaysia menjejaskan kepercayaan yang dibina selama berdekad-dekad.
“Dengan memastikan setiap langkah penting dalam proses pembuatan dilakukan di tanah air, kita melindungi kualiti produk, kebolehlacakan dan pematuhan kepada piawaian Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang ketat seperti yang dituntut pembeli global.
“Oleh itu, MARGMA menyokong penuh terhadap pengumuman yang dibuat oleh Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani itu,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, arahan itu memberikan pelbagai manfaat kepada industri, antaranya mengukuhkan reputasi Malaysia sebagai pengeluar berkualiti tinggi dengan rantaian bekalan yang telus.
“Ia juga memberi jaminan yang jelas kepada pengimport dan penyedia penjagaan kesihatan bahawa produk berlabel Buatan Malaysia benar-benar berasal dari negara ini.
“Kedua, ia mewujudkan persaingan yang adil dengan menghalang amalan transshipment yang merugikan pengilang yang melabur besar dalam fasiliti tempatan, teknologi, dan tenaga kerja mahir Malaysia.
“Ketiga, ia menyokong kelestarian industri jangka panjang dengan menggalakkan pelaburan modal berterusan, penyelidikan dan pembangunan (R\&D), serta peningkatan teknologi yang akan memastikan Malaysia kekal sebagai peneraju inovasi perlindungan tangan,” katanya.
Sarung tangan getah kekal sebagai eksport penting negara dengan Malaysia mengeksport sarung tangan bernilai RM15.41 bilion pada 2024, iaitu hampir separuh daripada jumlah eksport produk getah dan berasaskan getah negara.
Beliau berkata, MARGMA turut menyambut baik penjelasan menteri bahawa pengimportan susu getah mentah, khususnya dari Thailand masih dibenarkan.
“Malaysia ketika ini hanya menghasilkan kira-kira satu pertiga daripada jumlah susu getah yang diperlukan oleh industri sarung tangan, menjadikan import sebagai keperluan untuk memastikan pengeluaran tidak terganggu.
“Mengimport susu getah untuk diproses di Malaysia sangat berbeza daripada mengimport sarung tangan siap. Dasar ini mencapai keseimbangan yang tepat antara menjamin kualiti dan memastikan keselamatan bekalan,” ujarnya.
MARGMA akan terus bekerjasama rapat dengan Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi memastikan pelaksanaan arahan ini berjalan lancar.
Persatuan akan terus mengemas kini syarikat ahli mengenai prosedur pematuhan, dokumentasi dan kesiapsiagaan audit, serta bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan untuk menghalang penyelewengan dagangan yang boleh menjejaskan reputasi industri global. – UTUSAN