Ekonomi Malaysia dijangka perlahan pada suku pertama - Utusan Malaysia

Ekonomi Malaysia dijangka perlahan pada suku pertama

KDNK
PERTUMBUHAN keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia berisiko lebih rendah tahun ini. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku pertama 2025 dijangka berada antara empat peratus hingga 4.5 peratus berbanding unjuran awal pada 4.5 peratus sebelum ini.

Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, penurunan ini dilihat akibat ketidaktentuan ekonomi global yang turut dirasai oleh negara-negara lain.

“Selain itu, konflik India-Pakistan juga mendorong kepada penurunan ini dan sokongan ekonomi domestik juga pada tahap sederhana.

“Saya juga melihat kepimpinan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang mungkin mengumumkan perubahan tarif boleh mengganggu unjuran KDNK pada sukuan kedua nanti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Sementara itu, Maybank Investment Bank Bhd. berkata, unjuran itu berdasarkan pertumbuhan yang sedikit lebih pantas dalam sektor perkhidmatan iaitu 5.3 peratus tahun ke tahun berbanding 5.2 peratus sebelum ini, serta sektor pertanian (0.8 peratus).

“Penguncupan yang lebih kecil dijangka dalam sektor perlombongan iaitu -3.2 peratus, pertumbuhan yang perlahan dalam sektor pembinaan (13.9 peratus) dan pembuatan (4.2 peratus),” katanya.

Dalam pada itu, Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) turut menyemak semula unjuran pertumbuhan KDNK kepada 4.5 peratus tahun ke tahun melebihi anggaran awal Jabatan Perangkaan iaitu 4.4 peratus tahun ke tahun.

Ia disokong oleh pertumbuhan berterusan walaupun semakin sederhana dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan.

“Walaupun AS telah menghentikan kenaikan kadar tarif terhadap rakan dagangnya, termasuk Malaysia dan China, kadar tarif yang lebih tinggi berbanding tahun lalu serta ketidakstabilan dasar perdagangan boleh menyebabkan perniagaan mengambil pendekatan lebih berhati-hati terhadap rancangan pelaburan dan pengambilan pekerja,” katanya.

Bagaimanapun, Penganalisis ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, unjuran pertumbuhan itu dijangka mula berkurangan bermula suku kedua hingga akhir tahun ekoran beberapa faktor luaran dan domestik.

“Penganalisis menyasarkan pertumbuhan ekonomi antara 4.5 hingga 5.5 peratus bagi 2025, namun terdapat kemungkinan berlaku penyusutan. Sebagai contoh, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) juga telah menurunkan unjuran pertumbuhan negara daripada 4.7 peratus kepada 4.1 peratus.

“Selain itu, antara kebimbangan utama termasuk penyusutan nilai ringgit yang diunjurkan mencecah RM4.90 berbanding dolar AS menjelang hujung tahun, sekali gus memberi tekanan ke atas ekonomi negara.

“Jika situasi ini berterusan, pertumbuhan keseluruhan KDNK bagi tahun ini berkemungkinan hanya sekitar 4.0 peratus atau sedikit lebih rendah,” ujarnya.

Tambahnya, ekonomi Malaysia lazimnya banyak bergantung kepada perbelanjaan persendirian, yang merangkumi lebih 50 peratus daripada komponen KDNK.

“Justeru, sentimen pasaran dan keyakinan pengguna memainkan peranan penting dalam menentukan momentum pertumbuhan.

“Krisis tarif walaupun mungkin dapat diselesaikan secara prinsip, kesan jangka sederhana dan panjangnya tetap besar. Ini memberi implikasi terhadap perdagangan antarabangsa dan keputusan pelaburan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN