PETALING JAYA: Kerajaan yakin sektor ekonomi digital mampu menyumbang 30 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menjelang tahun 2030.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, pihaknya melihat sasaran itu sebagai sesuatu yang boleh dicapai, dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyatakan sasaran ekonomi digital untuk menyumbang 25.5 peratus daripada KDNK tahun ini.
Malah katanya, negara menjangkakan lebih banyak pelaburan dalam ekonomi digital pada masa akan datang.
“Kami pasti akan melihat lebih banyak pelaburan berkaitan ekonomi digital, yang mana Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) akan menguruskan soal pembinaan ekosistem diperlukan di sini,” katanya dalam majlis pelancaran SmartGov Malaysia Summit 2025 dan Malaysia Digital Xceleration (MDX) Summit 2025 baru-baru ini.
Majis anjuran MDEC dengan kerjasama strategik Synapze Sdn. Bhd. itu mengetengahkan tema ‘Catalysing Malaysia’s Trillion-Dollar Digital Future’ untuk mempamerkan kejayaan dalam teknologi baru muncul, transformasi digital serta inovasi.
Majlis tersebut turut menyaksikan penyampaian Geran Pecutan Digital Malaysia – Kecerdasan Buatan (MDAG-AI) kepada 13 syarikat penerima bagi menyokong syarikat dengan status Malaysia Digital mempercepat pembangunan dan penggunaan penyelesaian dipacu AI dengan potensi pengkomersialan tinggi.
Di bawah MDAG-AI yang diperkenalkan Julai lalu, syarikat yang layak boleh memohon pembiayaan meliputi sehingga 70 peratus daripada jumlah kos projek, dihadkan kepada RM2 juta, untuk projek berjalan sehingga setahun.
Dalam pada itu, Gobind berkata, kerajaan komited bagi membangunkan ekosistem menyokong usaha ke arah menjadi negara kecerdasan buatan (AI) menjelang tahun 2030.
Katanya, kementerian setakat ini telah mengambil langkah konkrit dengan memanfaatkan infrastruktur dan mengguna pakai teknologi bagi memastikan persediaan ke arah negara AI.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Anuar Fariz Fadzil berkata, Sidang Kemuncak MDX 2025 bukan sekadar pameran teknologi, sebaliknya merupakan satu platform untuk mengambil tindakan.
“Dengan menghubungkan inovator global, bakat tempatan, pelabur dan penggubal dasar, kami sedang membina perkongsian yang akan memacu ekonomi digital Malaysia ke hadapan,” ujarnya.-UTUSAN










