KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia berkembang 4.4 peratus pada suku pertama 2025 berbanding 4.9 peratus pada suku sebelumnya, didorong oleh pengembangan permintaan dalam negeri dan pelaburan aset yang stabil.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, perbelanjaan isi rumah kekal mampan berikutan keadaan pasaran pekerja yang positif dan langkah-langkah dasar berkaitan pendapatan, termasuk semakan menaik terhadap gaji minimum dan gaji penjawat awam.
“Pengembangan aktiviti pelaburan adalah stabil disokong oleh pelaksanaan projek baharu dan yang sedia ada.
“Dalam sektor luaran, pertumbuhan eksport lebih perlahan disebabkan terutamanya oleh eksport perlombongan yang lebih rendah.
“Keadaan ini sebahagiannya diimbangi oleh eksport elektrik dan elektronik (E&E) yang lebih kukuh berikutan aktiviti eksport yang dipercepat dan aktiviti pelancongan yang terus meningkat,” katanya dalam sidang akhbar Prestasi Ekonomi Suku Pertama 2025 di Sasana Kijang di sini hari ini.
Dalam pada itu, Gabenor Bank Negara Makaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, ekonomi negara berkemungkinan menyaksikan pertumbuhan yang lebih perlahan berbanding unjuran 4.5 peratus hingga 5.5 peratus tahun ini, di tengah-tengah ketegangan perdagangan yang semakin memuncak dan ketidaktentuan yang semakin meningkat.
“Imbangan risiko terhadap prospek pertumbuhan condong ke bawah.
“Kami memiliki padangan dalaman untuk unjuran baharu bagi pertumbuhan ekonomi negara, namun situasi sekarang sangat tidak menentu dengan perbincangan sedang berjalan.
“Apabila keadaan semakin jelas, kami akan memuktamadkan unjuran baharu tidak lama lagi, mungkin dalam satu atau dua bulan lagi, kami tidak mahu menyemak semula unjuran berulang kali yang akan menguatkan lagi ketidakpastian pasaran,” katanya.
Inflasi keseluruhan menurun kepada 1.5 peratus pada suku pertama 2025 berbanding 1.8 peratus pada suku keempat 2024.
Penurunan ini sebahagian besarnya disebabkan oleh inflasi utiliti yang lebih rendah pada 3.0 peratus berbanding 18.1 peratus pada suku keempat 2024.
Keadaan ini susulan luputnya kesan daripada pelarasan tarif air terdahulu dan caj elektrik yang lebih tinggi bagi isi rumah dengan penggunaan yang tinggi pada suku pertama 2024.
Inflasi dalam perkhidmatan komunikasi mudah alih terus menurun, berpurata pada -13.5 peratus berbanding -10 peratus pada suku sebelumnya.
Walau bagaimanapun, inflasi teras meningkat sedikit kepada 1.9 peratus berbanding 1.7 peratus pada suku sebelumnya, didorong didorong terutamanya oleh inflasi sewa yang meningkat kepada 2.1 peratus. – UTUSAN