DPMM gesa tangguh pelaksanaan duti setem kontrak pekerjaan - Utusan Malaysia

DPMM gesa tangguh pelaksanaan duti setem kontrak pekerjaan

NORSYAHRIN HAMIDON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan digesa menangguhkan pelaksanaan Duti Setem Kontrak Pekerjaan sehingga Akta Setem 1949 disemak dan dikemas kini bagi mengelak kekeliruan serta bebanan terhadap usahawan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Bumiputera.

Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon berkata, penguatkuasaan Rangka Kerja Audit Duti Setem oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang berkuat kuasa 1 Januari lalu dibuat secara tergesa-gesa tanpa libat urus menyeluruh bersama komuniti perniagaan.

“Sentimen negatif daripada peniaga terhadap gagasan Ekonomi Madani dijangka boleh meningkat kerana mereka perlu menghadapi pelbagai pengumuman tidak mesra perniagaan.

“Ini seperti rasionalisasi subsidi petrol, kenaikan gaji minimum, sistem taksiran kendiri 2026, e-invois dan Malaysian Business Reporting System (MBRS 2.0) yang menambah beban kos serta pematuhan,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, walaupun DPMM menyambut baik pendekatan LHDN yang menekankan pendidikan dan pematuhan berbanding hukuman, pendekatan tersebut perlu menyeluruh dan sampai ke akar umbi.

“Bagaimanapun, kami berharap agar fasa mendidik ini sampai ke akar umbi melalui penglibatan dewan-dewan perniagaan sebelum ianya berkuatkuasa dan bukan sekadar pengumuman arahan semata-mata,” katanya.

Beliau berkata, pengalaman DPMM dalam pelaksanaan awal Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan e-invois mendapati keengganan mendaftar berpunca daripada kurang pemahaman, pendedahan terhadap keperluan pematuhan, kebimbangan pertambahan kos operasi dan kos mendapatkan sumber tenaga berkelayakan.

Katanya, masih banyak kekeliruan melibatkan pelaksanaan, termasuk mekanisme pengampunan, kadar penalti dan jenis dokumen yang tertakluk di bawah peraturan itu.

“Sebagai contoh, kegagalan mengecop kontrak dalam tempoh 30 hari boleh dikenakan penalti RM100 atau 20 peratus daripada duti jika disetem selepas tiga bulan.

“Kadar duti RM10 setiap instrumen pula dikenakan ke atas semua kontrak pekerjaan sama ada jangka panjang, pendek atau berkala, namun tidak jelas bagi surat tawaran pelatih, kontrak pekerja asing melalui kedutaan dan pekerja individu.

“Mahkamah di Malaysia telah lama memutuskan bahawa kekurangan duti setem bukanlah satu kecacatan kerana sebarang perjanjian yang tidak dicop masih dianggap sah dibawah undang-undang.

“Selain itu, had pengecualian duti setem untuk pekerja bergaji RM300 ke bawah juga dianggap sudah tidak relevan dan perlu disemak agar sejajar dengan struktur gaji semasa,” katanya.

DPMM turut menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan kerajaan dalam melaksanakan program penerangan dan pendidikan di semua negeri serta wilayah.

“DPMM berharap dapat mengadakan pertemuan dengan agensi berkaitan, termasuk LHDN dan Kementerian Kewangan bagi membincangkan perkara ini secara menyeluruh dan mengelak salah faham bahawa usaha ini hanya bertujuan menambah hasil negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN