Deca Water komited tangani kehilangan air tidak berhasil - Utusan Malaysia

Deca Water komited tangani kehilangan air tidak berhasil

RAZIM Faris (kanan) bersama Pengarah NRW Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd di Vietwater 2024.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seiring usaha negara memperkukuh pengurusan air dan membanteras kehilangan air tidak berhasil (NRW), Deca Solution Sdn. Bhd. (Deca Water) tampil sebagai antara syarikat tempatan yang proaktif menyahut cabaran ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Deca Water, Prof (Adj) Ts Razim Faris berkata, NRW bukan sekadar isu teknikal kerana ia melibatkan kehilangan nilai ekonomi, kelestarian sumber negara, serta kepercayaan rakyat terhadap sistem utiliti air.

Ujarnya, kini, Deca Water memainkan peranan lebih besar dalam membina dan memperkukuh infrastruktur air negara, sejajar dengan keperluan nasional.

“Menggabungkan kepakaran teknikal dan pengalaman industri, Deca Water menawarkan penyelesaian komprehensif dan holistik meliputi perkhidmatan perundingan, serta kerja-kerja menangani kehilangan fizikal dan kehilangan komersial, melalui penggunaan pelbagai teknologi pintar dalam sistem agihan air.

“Komitmen kami tidak hanya tertumpu kepada projek jangka pendek, sebaliknya berteraskan kepada penyelesaian mampan yang mampu menjimatkan belanjawan negara, sekali gus memastikan kelangsungan sumber air untuk generasi masa depan.

“Kami percaya masa depan pengurusan air Malaysia terletak pada keberanian untuk berinovasi dan kecekapan dalam pelaksanaan. Deca Water komited untuk menjadi sebahagian daripada usaha kolektif ini,” katanya dalam kenyataan.

Terbaharu, Deca Water membuktikan keupayaannya dalam gerak kerja membantu Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) memastikan kelangsungan bekalan air sepanjang penganjuran Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) 2025 pada 20 hingga 24 Mei ini.

Menurut Razim, sejak beberapa bulan lalu, pihaknya giat menjalankan pelbagai kerja termasuk penggantian paip lama, pengurusan tekanan air, serta pengesanan dan pembaikan kebocoran, bagi memperkukuh sistem bekalan air di Langkawi.

“Usaha ini sekali gus membuktikan keupayaan syarikat menggerakkan tenaga kerja secara sistematik serta mengaplikasikan kepakaran teknikal untuk memenuhi keperluan acara bertaraf antarabangsa, seterusnya mengukuhkan keyakinan terhadap keupayaan syarikat tempatan,” ujarnya.

Pada masa ini, Malaysia berdepan cabaran serius dalam pengurusan air, dengan purata kadar NRW mencecah 35 peratus daripada jumlah air terawat, membawa kepada kerugian ekonomi dianggarkan lebih RM2 bilion setahun.

Menyedari kepentingan isu ini, kerajaan melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) telah melancarkan pelbagai inisiatif untuk mengurangkan kadar NRW secara sistematik dan memastikan kelestarian sumber air negara.

Deca Water merupakan antara syarikat tempatan terawal yang giat menyahut seruan kerajaan ini, dengan mengorak langkah proaktif di beberapa negeri utama termasuk Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Pimpinan berpengalaman yang diterajui Razim, seorang pakar teknologi dengan pengalaman antarabangsa bersama Rashidi Alias, veteran industri air dengan lebih 30 tahun pengalaman dalam industri air negara, merupakan kombinasi mantap yang memperkukuhkan strategi operasi Deca Water.

Turut memperkukuh pasukan ialah Datuk Faizal Jamat, tokoh korporat berpengalaman dalam bidang perniagaan dan teknologi maklumat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN