Chery sedia kongsi teknologi pembuatan bateri HEV, EV - Utusan Malaysia

Chery sedia kongsi teknologi pembuatan bateri HEV, EV

DAVID Xianqiang Lu (dua dari kanan) dan Michael Chew (paling kiri) menjawab pertanyaan wartawan dalam sesi penerangan bertajuk Kejuruteraan Masa Depan: Meninjau Ke Dalam Rangkaian Kuasa Hibrid Chery sempena Pameran Automotif Malaysia 2025 (MAS2025) di Serdang, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Chery berhasrat memindahkan teknologi pembuatan bateri untuk kenderaan elektrik hibrid (HEV) dan kenderaan elektrik (EV) kepada industri tempatan.

Ketua Jurutera Pengurusan Pembangunan Produk yang juga Pengarah Institut Prakajian dan Reka Bentu Kenderaan, Chery Automobile Co. Ltd., Dr. David Xianqiang Lu berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan kerajaan Malaysia bagi melihat peluang untuk menghasilkan bateri (HEV dan EV) menggunakan teknologi serta kepakaran tempatan atau membina kilang pengeluaran di sini.

Menurutnya, negara ini akan terus menjadi keutamaan Chery bukan sahaja dari aspek pasaran jualan malahan pemindahan teknologi baharu kepada industri tempatan.

“Chery bukan sahaja mahu menjadikan Malaysia sebagai salah satu pelabuhan utama untuk pasaran kenderaan kami, tetapi juga membawa masuk teknologi baharu.

“Ini kerana sambutan kepada produk Chery begitu memberangsangkan di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi penerangan bertajuk Kejuruteraan Masa Depan: Meninjau Ke Dalam Rangkaian Kuasa Hibrid Chery sempena Pameran Automotif Malaysia 2025 (MAS2025) di sini baru-baru ini.

Pada MAS2025, Chery memperkenalkan model terbaharu dalam barisan kenderaan utiliti sukan (SUV), iaitu Tiggo Cross yang didatangkan dalam dua versi, enjin petrol dan HEV.

Sementara itu, Naib Presiden Chery Malaysia, Michael Chew berkata, strategi pihaknya adalah untuk memasarkan model HEV berharga bawah RM100,000 yang mampu memenuhi kehendak semua peringkat pengguna.

“Tidak kira pengguna dari kelas pertengahan atau kelas tinggi atau mereka yang peka dengan kebersihan alam sekitar, strategi kami adalah untuk memastikan mereka ini dapat memilikinya,” jelasnya.

Tambahnya, langkah seterusnya bagi Chery adalah memasarkan EV terutama dalam berdepan suasana ekonomi lebih mencabar khususnya apabila penyasaran subsidi petrol dilaksanakan nanti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN