Astaka, Kimlun bangunkan Arden dengan GDV RM800j - Utusan Malaysia

Astaka, Kimlun bangunkan Arden dengan GDV RM800j

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Astaka Holdings Limited (Astaka), pemaju hartanah bersepadu yang berpangkalan di Johor bersama rakan usaha sama (JV), Kimlun Corporation Berhad (Kimlun) memulakan kerja pembinaan projek perkhidmatan kediaman Arden.

Projek tersebut merupakan sebahagian daripada fasa 3 pembangunan utama kumpulan, One Bukit Senyum.

Menurut kenyataannya, Arden merupakan pembangunan pegangan bebas dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM800 juta dan merangkumi 618 unit kediaman servis premium. 

Jelasnya, Arden yang dirancang sebagai mercu tanda antarabangsa dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang baharu diumumkan, akan berdiri setinggi 68 tingkat atau 260 meter dari paras tanah, menjadikannya bangunan kedua tertinggi di Johor Bahru. 

Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Astaka Holdings Limited, Allen Khong berkata, selepas pelancaran rasmi Arden pada Mac 2025, pihaknya amat teruja untuk memulakan pembinaan pembangunan ikonik ini. 

“Kami berbangga berkongsi kejayaan ini bersama Kimlun, rakan strategik lama kami dalam projek seperti Menara MBJB dan Aliva Mount Austin. 

“Projek ini menyatukan dua pemain hartanah terkemuka dari Johor yang komited terhadap pembangunan bertaraf dunia yang memberikan nilai luar biasa kepada penduduk dan pelabur. 

“Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Johor dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) atas sokongan mereka dalam menjayakan projek ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kimlun Corporation Berhad, Pang Khang Hau pula berkata, Kimlun berbangga dapat sekali lagi bekerjasama dengan Astaka sebagai rakan JV dan kontraktor utama bagi projek transformatif yang akan mendefinisikan semula landskap langit Johor Bahru ini. 

“Rekod pencapaian kami dalam menyediakan penyelesaian kejuruteraan dan pembinaan berkualiti tinggi sejajar sepenuhnya dengan visi untuk Arden dan One Bukit Senyum. 

“Kami bertekad untuk merealisasikan projek ikonik ini sebagai mercu tanda baharu bagi bandar ini,” ujarnya. 

Dijangka siap menjelang 2030, projek ini menyasarkan untuk merealisasikan visi kumpulan dalam membentuk mercu tanda ikonik yang akan mengubah landskap langit Johor. 

Arden menawarkan kemudahan setaraf hotel termasuk ruang makan langit (sky dining), lounge KTV, kemudahan mesra keluarga dan kanak-kanak, ruang pejabat kerja bersama, simulator golf dalaman serta kira-kira 50 kemudahan lain yang dirancang teliti.

Majlis pecah tanah bagi menandakan permulaan pembinaan Arden telah diadakan pada 19 Mei 2025 dan disempurnakan oleh Datuk Bandar MBJB, Datuk Mohd Haffiz Ahmad. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN