Alibaba Cloud rakan kongsi awan hab fintech baharu PayNet - Utusan Malaysia

Alibaba Cloud rakan kongsi awan hab fintech baharu PayNet

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Alibaba Cloud menjalin kerjasama dengan Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet) sebagai rakan kongsi awan bagi pelancaran hab Fintech PayNet baharu.

Hab komuniti yang pertama di Malaysia itu adalah bagi memacu pertumbuhan industri kewangan digital tempatan.

Di bawah kepimpinan PayNet, hab ini dijangka menjadi pemangkin kepada sektor kewangan digital negara dengan menyediakan akses kepada pembiayaan, rangkaian industri, insentif kewangan serta kepakaran global kepada syarikat pemula.

Pengurus Besar Wilayah Selatan Asia Tenggara Alibaba Cloud Intelligence, Kun Huang berkata, Malaysia merupakan salah satu negara yang sedang dalam fasa membangun pesat dan kerjasama itu satu daripadanya.

“Ekosistem kewangan digital Malaysia sedang berkembang pesat, dan kami teruja untuk menyokong pertumbuhan ini dengan menyediakan infrastruktur awan, alat Kecerdasan Buatan (AI), serta rangkaian global yang diperlukan oleh syarikat pemula untuk berkembang.

“Menerusi infrastruktur awan dan keupayaan AI kami yang canggih, kami komited untuk membentuk masa depan kewangan digital pintar di Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pemasaran PayNet, Gary Yeoh berkata, kerjasama ini mencerminkan visi Alibaba Cloud untuk membangunkan ekosistem AI yang kukuh di Malaysia dalam membekalkan pemain tempatan dengan alat bertaraf dunia.

“Penglibatan Alibaba Cloud sebagai rakan kongsi awan bagi hab Fintech PayNet memberikan peserta kewangan digital akses kepada alat bertaraf dunia, kepakaran teknikal, dan pendedahan global.

“Kerjasama ini akan mempercepat pertumbuhan ekosistem kewangan digital Malaysia, membuka peluang baharu untuk syarikat pemula berinovasi dan berkembang dengan lebih pantas dan bijak, serta bersaing di peringkat global,” ujarnya.

Sebagai salah satu rakan awan utama hab ini, Alibaba Cloud akan memainkan peranan penting dalam mendorong inovasi dan memperkasa generasi baharu syarikat kewangan digital di Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN