Tekanan kos tinggi, syarikat disaran ubah strategi pasaran

Tekanan kos tinggi, syarikat disaran ubah strategi pasaran

KADAR tarif yang dikenakan pentadbiran Trump terhadap Malaysia adalah 47 peratus dengan kadar diskaun sebanyak 24 peratus.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA dunia perniagaan semakin kompleks dan tidak menentu, pengumuman tarif timbal balik oleh Amerika Syarikat (AS) mencetuskan kebimbangan baharu dalam kalangan syarikat pengeksport Malaysia.

Langkah itu bukan sahaja meningkatkan kos dagangan secara mendadak, malah meletakkan syarikat eksport dalam situasi yang memerlukan penilaian semula terhadap strategi dan pasaran sasaran mereka.

Walaupun tarif tersebut telah ditangguhkan selama 90 hari, namun kita masih perlu bersiap siaga kerana pada bila-bila masa sahaja AS boleh melaksanakannya semula.

Presiden Kebangsaan Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta), Datuk William Ng berkata, syarikat yang bergantung kepada pasaran AS sebagai destinasi eksport utama perlu mengambil tindakan segera untuk mengurangkan risiko perniagaan.

Menurutnya, antara pendekatan yang disarankan ialah memperluaskan pasaran ke rantau ASEAN, Asia Barat dan Afrika bagi mengelakkan kebergantungan berlebihan kepada pasaran tunggal seperti AS.

“Kita perlu lihat peluang di pasaran lain yang lebih stabil dan terbuka kepada produk Malaysia, selain memastikan aliran tunai syarikat tidak terjejas akibat tekanan tarif,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ada syarikat yang diminta pelanggan untuk menyemak semula harga produk akibat peningkatan kos tarif, sekali gus mewujudkan tekanan ke atas margin keuntungan.

“Dalam situasi itu, syarikat digalakkan menyesuaikan struktur harga atau berunding semula dengan pelanggan untuk berkongsi beban kos yang timbul.

“Cabaran ini bukan sekadar kepada pengilang atau PKS semata-mata, tetapi juga kepada syarikat berskala besar yang turut bergantung kepada eksport bagi menjana pendapatan.

Menurut William, tekanan kos yang berlaku secara tiba-tiba perlu ditangani dengan pendekatan jangka panjang yang berfokus kepada kecekapan dan daya saing.

“Ini masa terbaik untuk syarikat mula melabur dalam automasi, teknologi digital dan peningkatan produktiviti supaya mereka kekal kompetitif di pasaran global. 

“Pelaburan sebegini tidak seharusnya dilihat sebagai kos tambahan, tetapi satu bentuk penyesuaian strategik terhadap landskap perdagangan dunia yang semakin mencabar,” katanya.

Mengulas mengenai penangguhan pelaksanaan tarif, Presiden Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai berkata, ahli FMM melihat tempoh itu sebagai peluang penting untuk mempercepatkan perancangan kontingensi.

Menurutnya, para pengilang Malaysia menyuarakan kebimbangan besar terhadap impak langsung dan tidak langsung daripada tarif balas AS.

“Ramai menjangkakan kos eksport akan meningkat antara 10 hingga 30 peratus atau lebih, selain berdepan tekanan daripada pembeli antarabangsa untuk menurunkan harga atau merunding semula terma.

“Sebagai tindak balas, syarikat sedang menyesuaikan rantaian bekalan, meneroka pasaran alternatif dan berinteraksi dengan agensi kerajaan yang berkaitan,” katanya. 

FMM turut mencadangkan untuk menubuhkan Majlis Rantaian Bekalan Negara bagi menyelaras tindakan rentas kementerian dan kerjasama awam-swasta berkaitan daya tahan perdagangan, kesinambungan logistik dan keselamatan industri.

“Majlis ini akan membantu mengenal pasti kelemahan dan menyelaras strategi pensijilan, infrastruktur serta tenaga kerja untuk menyokong pengilang semasa gangguan.

“Selain itu, sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, tubuhkan juga Majlis Koordinasi Rantaian Bekalan ASEAN. 

“Platform ini akan memperkukuh kerjasama serantau dalam kemudahan perdagangan, pendigitalan dan sumber serantau, sejajar dengan Rangka Kerja ASEAN untuk Kecekapan dan Ketahanan Rantaian Bekalan,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×