Sijil halal kukuhkan kepercayaan pelanggan Melvados

Sijil halal kukuhkan kepercayaan pelanggan Melvados

MELVADOS menawarkan 10 jenis snek yang merangkumi biskut, biscotti dan brittle, selain produk RTE.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Melvados, jenama makanan di bawah Ableitner Foods Sdn. Bhd., terus mengukuhkan kedudukan dalam pasaran tempatan dengan memegang sijil halal yang diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sejak 2017.

Pengurus Besar Ableitner Foods, Terri Sandhu berkata, permohonan pensijilan halal dibuat pada 29 Disember 2016 dan diluluskan Jakim pada 1 Mei 2017.

Menurutnya, proses permohonan halal melibatkan audit serta pemeriksaan premis sebelum sijil diluluskan dan syarikat juga perlu memperbaharui sijil dari semasa ke semasa terutamanya apabila menambah produk baharu.

“Setiap kali kami hasilkan produk baharu atau sesuatu produk tamat tempoh sijil, kami akan buat pembaharuan atau permohonan semula.

“Sepanjang operasi, kami sudah buat beberapa kali pembaharuan dan juga permohonan baharu bagi produk-produk tambahan,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Melvados membuka outlet pertamanya dua tahun lalu dan kini telah berkembang dengan beberapa cawangan di Lembah Klang serta satu di Pulau Pinang.

Terri berkata, sijil halal amat penting dalam perniagaan makanan kerana ia memberi keyakinan kepada pelanggan, terutamanya pengguna beragama Islam.

Ujarnya, pensijilan halal membantu syarikat menjangkau pasaran lebih luas kerana Ableitner Foods sebagai syarikat induk telah memiliki pensijilan halal sejak awal.

“Ramai pelanggan tanya dulu sama ada produk kami halal atau tidak. Apabila kami tunjuk sijil halal, mereka lebih yakin untuk membeli.

“Sijil ini juga memastikan kami mematuhi proses dan prosedur tertentu dari segi pengendalian makanan.

“Walaupun Melvados masih jenama baharu, dengan pensijilan halal, pelanggan lebih mudah terima jenama ini kerana mereka tahu produk kami ikut standard halal,” katanya.

Beliau turut mengakui Melvados menghadapi cabaran pada peringkat awal, terutama dalam membina kesedaran jenama di pasaran runcit setelah sekian lama fokus kepada pasaran borong.

“Awalnya memang mencabar sebab jenama masih baharu. Bila masuk pasaran, orang akan bandingkan dengan jenama besar lain yang dah lama wujud.

“Kami masih baru, tapi kami dalam usaha untuk menarik lebih banyak pelanggan runcit dan kini turut menjelajah ke segmen jualan korporat,” katanya.

Terri berkata, syarikat mempunyai perancangan untuk terus mengembangkan rangkaian cawangan di seluruh negara kerana potensi pasaran domestik masih besar.

“Setakat ini hanya satu cawangan kami di luar Lembah Klang iaitu di Pulau Pinang. Sasaran kami adalah untuk buka lebih banyak cawangan di setiap negeri,” katanya.

Melvados menawarkan 10 jenis snek yang merangkumi biskut, bicotti dan brittle, selain produk makanan sedia untuk dihidang (RTE) seperti lasagna, pai, wrap, kek, pastri dan roti.

“Kami juga sedang uji pelbagai produk baharu sebelum dilancarkan ke pasaran. Jadi kami sentiasa ada produk menarik untuk pelanggan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN