Sektor automotif sumbang hasil RM82 bilion

Sektor automotif sumbang hasil RM82 bilion, kira-kira 5% KDNK Malaysia

HANAFI Sakri(tiga dari kanan), Pengasas dan Penasihat Berjaya Corporation Bhd,Tan Sri Datuk Seri Vincent Tan Chee Yioun (dua dari kanan) dan Naib Presiden JETOUR Auto, Ke Chuandeng(kanan) ketika pelancaran Jetour Dashing di Kuala Lumpur di sini, semalam.-UTUSAN/MUHAMMAD NAIM HELMI HAFIDZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sektor automotif negara menyumbang kira-kira lima peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia tahun lalu, menjana hasil lebih RM82 bilion dan menyokong lebih 700,000 pekerjaan di seluruh rantaian nilai.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, industri automotif Malaysia antara yang terbesar di Asia, dengan hampir 40 pengeluar dan lebih 700 pengeluar komponen.

Katanya, ini melibatkan daripada pembuatan dan pemasangan hingga pengedaran, runcit dan perkhidmatan selepas pasaran.

“Pun begitu, lebih banyak usaha masih diperlukan untuk meningkatkan eksport, dengan sektor automotif negara telah menghadapi defisit perdagangan selama lebih 40 tahun. 

“Pada 2024, sektor ini mencatatkan jumlah nilai perdagangan RM70.29 bilion, yang mana RM54.33 bilion adalah untuk import dan RM15.96 bilion untuk eksport kenderaan bermotor, motosikal dan alat ganti dan komponen. 

“Untuk menangani defisit perdagangan yang ketara ini, menggalakkan eksport adalah salah satu strategi utama, di samping menarik pelaburan asing ke dalam negara dan mengatasi halangan bukan tarif,” katanya pada majlis pelancaran model kenderaan utiliti sukan (SUV) baharu, Dashing oleh Jetour di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (Mitec) di sini, semalam.

Teks ucapan Tengku Zafrul dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Hanafi Sakri.

Dalam majlis sama turut menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Berjaya Asset Bhd. dan Jetour Malaysia Sdn. Bhd. untuk kerjasama penting dalam projek pemasangan tempatan (CKD) bagi jenama dari China itu di sini.

Tengku Zafrul berkata, beliau berbesar hati untuk menyaksikan kehadiran Jetour yang semakin meningkat di Malaysia, yang mana jenama berkenaan telah menunjukkan komitmen untuk menyokong aspirasi automotif negara melalui beberapa inisiatif utama.

Malah katanya, pengenalan model seperti Dashing yang membawa reka bentuk dan teknologi canggih kepada pengguna sejajar dengan matlamat kerajaan untuk memastikan rakyat Malaysia mempunyai akses kepada kenderaan berkualiti yang memenuhi keperluan gaya hidup mereka.

“Jetour juga komited untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat pembuatan dan penyelidikan serta pembangunan (R&D) untuk rantau Asia Pasifik, sejajar dengan agenda nasional kita untuk menjadi hab automotif serantau.

“Mungkin yang paling utama, Jetour juga yakin dalam mewujudkan lebih 3,000 pekerjaan merentasi pelbagai sektor, termasuk pembuatan, kejuruteraan, jualan dan perkhidmatan selepas jualan yang menyumbang kepada matlamat kami untuk membangunkan tenaga kerja mahir untuk permintaan Industri 4.0,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN