PETALING JAYA: Rundingan antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) mengenai tarif balas yang dikenakan dijangka memberi hasil positif, termasuk kemungkinan pengurangan kadar tarif yang akan memberi kelebihan kepada eksport Malaysia ke pasaran AS.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, AS merupakan antara rakan dagang utama Malaysia dengan banyak syarikat besar dari negara itu beroperasi di sini.
“Hasil rundingan yang baik bakal memberi manfaat kepada kedua-dua pihak. Antara produk utama yang dijangka terlibat dalam rundingan ini adalah perabot dan produk getah.
“Perkembangan ini juga dilihat penting untuk menarik lebih banyak pelaburan AS ke Malaysia, selain membuka lembaran baharu dalam hubungan dagang kedua-dua negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Media sebelum ini melaporkan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dijadualkan bertemu Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR), Jamieson Greer dan pegawai lain yang berkaitan di Washington pada 24 April, untuk membincangkan tarif balas yang dikenakan ke atas Malaysia.
Afzanizam berkata, Malaysia mengambil pendekatan tidak mengenakan tarif balas terhadap AS dilihat tepat kerana membantu memperkukuh hubungan diplomatik serta memberi ruang rundingan yang lebih terbuka dan mesra.
“Malaysia juga dijangka mengetengahkan isu kadar tarif yang tinggi dikenakan terhadap produk negara, berdasarkan data WTO yang menunjukkan purata 5.6 peratus.
“Selain itu, laporan Pejabat Wakil USTR bertarikh 31 Mac turut dijangka dirujuk, khususnya isu berkaitan produk tiruan, pensijilan halal yang ketat dan proses kelulusan permit import (AP) dalam sektor automotif.
Sementara itu, Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Profesor Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, antara perkara paling utama dalam rundingan ini adalah status eksport semikonduktor Malaysia ke AS, yang kini menyumbang hampir 60 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport Malaysia ke negara itu.
“Walaupun sebelum ini industri semikonduktor dan farmaseutikal dikatakan terkecuali daripada sebarang tarif, namun perkembangan terbaharu menunjukkan farmaseutikal tidak lagi menikmati pengecualian tersebut.
“Sementara itu, semikonduktor kini sedang diteliti semula oleh AS di bawah Akta Keselamatan Negara kerana dikaitkan dengan isu ketergantungan tinggi dan risiko keselamatan.
“Kita memerlukan kepastian segera. Ketidaktentuan ini menjejaskan daya saing serta keyakinan pelabur dan pengeksport,” katanya.
Malaysia merupakan antara pengeluar utama semikonduktor dunia, dengan industri ini telah berkembang kukuh lebih lima dekad, disokong oleh pelaburan langsung asing (FDI) berskala besar daripada syarikat multinasional AS.
Negara turut menjadi lokasi utama bagi pusat data syarikat teknologi gergasi seperti Google, Amazon Web Services (AWS) dan Microsoft, yang menjadikan Malaysia sebagai hab digital serantau.
Beliau berkata, selain semikonduktor, industri perabot juga antara yang terkesan dengan dasar tarif AS.
“Eksport perabot Malaysia ke pasaran AS bernilai RM7.8 bilion atau 56.3 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport perabot negara.
“Persaingan dari Vietnam dan negara serantau lain kini menekan pengeluar tempatan yang terpaksa mencari pasaran baharu sambil mengekalkan kedudukan dalam pasaran,” ujarnya.
Tambahnya, kedudukan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini turut memberi kelebihan strategik dalam rundingan ini.
“Walaupun Malaysia negara kecil, namun peranannya sebagai pembekal utama semikonduktor dan hubungan erat dengan AS dan China meletakkan negara dalam kedudukan tawar-menawar yang kukuh,” ujarnya.-UTUSAN










