Purata harga minyak sawit mentah dijangka menyusut pada April - Utusan Malaysia

Purata harga minyak sawit mentah dijangka menyusut pada April

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga minyak sawit mentah (MSM) diunjur berada pada purata RM4,400 hingga RM4,500 setiap tan bulan ini, lebih rendah berbanding Mac iaitu pada RM4,740 setiap tan berikutan permintaan yang menyederhana di pasaran utama serta ketidaktentuan dasar global.

Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, jangkaan ini berikutan permintaan yang sederhana daripada pasaran utama seperti India dan China yang kini lebih cenderung kepada minyak sayuran lain seperti minyak soya yang menawarkan margin lebih baik.

Katanya, ketidaktentuan dasar perdagangan global turut memberi kesan khususnya tindakan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang mengenakan tarif timbal balas terhadap beberapa produk yang dijangka meningkatkan ketegangan dagangan jangka pendek.

“Daya saing harga minyak sawit yang semakin meningkat serta pengukuhan nilai ringgit turut mempengaruhi keputusan permintaan terhadap minyak sawit.

“Harga MSM mencatatkan prestasi yang baik bagi suku pertama 2025, meningkat sebanyak 18.4 peraus kepada RM4,726.00 satu tan pada Januari hingga Mac 2025 berbanding RM3,990.50 satu tan pada Januari hingga Mac 2024.

“Namun begitu, harga purata MSM bagi tempoh 1 hingga 15 April 2025 telah mengalami kejatuhan kepada RM4,544.00 satu tan dengan harga terkininya terus menyusut kepada RM4,332.00 satu tan pada 15 April 2025.

“Berdasarkan senario ini, diunjurkan harga purata MSM bagi bulan April adalah di antara RM4,400 hingga RM4,500, lebih rendah berbanding Mac 2025 iaitu pada RM4,740 satu tan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Beliau berkata, bagi April 2025 permintaan sawit dipasaran global dijangka kekal stabil namun berwaspada terhadap turun naik harga terutama di pasaran utama yang sensitif terhadap harga akibat keputusan dasar tarif timbal balas oleh pentadbiran Trump.

“Hal ini dijangka meningkatkan ketegangan dagangan jangka pendek sekali gus berpotensi mempengaruhi aliran perdagangan antarabangsa,” ujarnya.

Ahmad Parveez berkata, industri sawit Malaysia pada tahun 2025 sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran yang kompleks dan saling berkait, yang memberi kesan kepada prestasi harga niaga hadapan MSM serta daya saing jangka panjang industri.

“Di pentas global, satu daripada isu utama adalah ketidaktentuan dalam landskap geopolitik, terutamanya susulan dengan kemunculan semula pentadbiran Trump 2.0.

“Pendekatan yang lebih bersifat melindungi (protectionist-stance) dan ketegangan perdagangan yang terhasil memberi kesan kepada aliran eksport, termasuk produk sawit Malaysia ke pasaran AS.

“Pada masa yang sama, dasar tarif timbal balik yang dikenakan terhadap bahan mentah dari negara membangun turut mengganggu kestabilan pasaran global minyak sawit,” jelasnya.

Tambahnya, Peraturan EU Mengenai Penyahutanan Hutan (EUDR) turut menimbulkan cabaran besar, terutamanya dari segi pematuhan keperluan kebolehjejakan rantaian bekalan dan penyediaan data geolokasi bagi setiap plot ladang.

“Walaupun pelaksanaannya telah ditangguhkan ke 30 Disember 2025 bagi kebanyakan pengusaha dan 30 Jun 2026 bagi perusahaan kecil dan mikro, industri tetap perlu melabur dalam sistem pematuhan dan teknologi pengesanan, yang secara langsung meningkatkan kos pengeluaran serta beban pentadbiran,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya