PETALING JAYA: Petronas Lubricants International (PLI) dan Quaker Houghton, peneraju global dalam cecair proses perindustrian menjalinkan perkongsian strategik untuk menyediakan produk, penyelesaian dan perkhidmatan untuk sektor perindustrian utama di Malaysia dan India.
Menurut kenyataan bersamanya, dengan memanfaatkan portfolio produk dan kedudukan pasaran geografi bagi kedua-dua syarikat, PLI dan Quaker Houghton akan menyediakan rangkaian penyelesaian industri yang diperluaskan untuk pelanggan.
Bermula suku kedua 2025, PLI yang merupakan cabang cecair dan pelincir global gergasi tenaga Petronas akan menjadi pengedar eksklusif portfolio luas Quaker Houghton bagi cecair kerja logam bertaraf dunia kepada pelanggan dalam pengangkutan dan pasaran akhir perindustrian di Malaysia.
Di India, Quaker Houghton akan menawarkan rangkaian pelincir penyelenggaraan berprestasi tinggi dan cecair industri PLI kepada pelanggan kilang kelulinya.
Ketua Pegawai Strategi dan Transformasi Kumpulan PLI, Domenico Ciaglia berkata, PLI komited untuk membina pakatan jangka panjang yang akan menyediakan ketersediaan produk dan kualiti perkhidmatan yang lebih besar untuk pelanggannya.
Ujarnya, ini sekali gus mengukuhkan kedudukan syarikat sebagai rakan kongsi pilihan dalam pelincir industri global.
“Kami percaya pasukan di Quaker Houghton berkongsi visi kami untuk memfokuskan masa hadapan dan mereka mempunyai kedudukan yang unik untuk membuka peluang bersama kami.
“Ini meliputi dari segi mencapai pasaran baharu dan menjadi rakan kongsi yang kami perlukan untuk memimpin industri ke era baharu perkhidmatan yang berkesan dan mampan,” katanya.
Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif, Kepakaran Global dan Ketua Pegawai Pertumbuhan Quaker Houghton, Jeewat Bijlani berkata, Asia adalah antara pasaran utamanya dan perkongsian ini membolehkan syarikat menyediakan cecair kerja logam Quaker Houghton kepada lebih ramai pelanggan.
“PLI mempunyai pengalaman, reputasi dan saluran yang terbukti untuk menyokong keperluan pelanggan dan meluaskan jangkauan kami di Malaysia,” ujarnya.
Tambahnya, perkongsian strategik ini mengukuhkan visi bersama syarikat untuk memacu kecemerlangan penyelesaian industri sambil memenuhi keperluan pembuatan moden yang berkembang.
PLIl dan Quaker Houghton akan bekerjasama dan menetapkan piawaian baharu dalam prestasi untuk aplikasi industri. – UTUSAN