PETALING JAYA: Perdagangan Malaysia meneruskan momentum positif pada Mac 2025 dengan berkembang 2.2 peratus kepada RM249.89 bilion, nilai tertinggi yang pernah dicatatkan bagi Mac dan pertumbuhan tahun ke tahun yang ke-15 bulan berturut-turut sejak Januari 2024.
Prestasi itu didorong oleh kenaikan eksport sebanyak 6.8 peratus kepada RM137.31 bilion, yang juga adalah rekod tertinggi bagi Mac, manakala import susut 2.8 peratus kepada RM112.59 bilion.
Lebihan dagangan mengembang sebanyak 94.4 peratus berbanding Mac tahun lalu kepada RM24.72 bilion, nilai tertinggi sejak Jun 2023 dan juga menjadi lebihan dagangan yang ke-59 bulan berturut-turut direkodkan sejak Mei 2020.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan hari ini berkata, peningkatan eksport disokong terutamanya oleh kenaikan permintaan bagi barangan perkilangan, khasnya barangan elektrik dan elektronik (E&E) yang mencatatkan nilai bulanan tertinggi setakat ini, dengan jumlah peningkatan melebihi RM12 bilion tahun ke tahun.
“Pada Mac 2025, eksport barangan perkilangan yang merangkumi 86.9 peratus daripada jumlah eksport negara meningkat bagi enam bulan berturut-turut, meningkat 8.9 peratus tahun ke tahun kepada RM119.3 bilion.
“Pertumbuhan ini dipacu oleh permintaan yang kukuh bagi barangan E&E, jentera, kelengkapan dan peralatan serta barangan makanan diproses. Eksport bagi kesemua barangan ini mencatatkan nilai tertinggi setakat ini,” katanya.
Menurut MITI, keluaran pertanian, terutamanya minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, turut menyumbang kepada peningkatan eksport.
Katanya, dari segi pasaran, eksport ke rakan dagang utama seperti ASEAN, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Taiwan merekodkan pertumbuhan, dengan eksport ke AS melonjak kepada nilai tertinggi yang baharu, meningkat 50.8 peratus kepada RM22.66 bilion, disumbangkan oleh permintaan yang kukuh bagi barangan E&E.
“Eksport yang lebih tinggi turut dicatatkan ke negara rakan perjanjian perdagangan bebas (FTA) seperti Hong Kong, Turkiye, Kanada dan Chile.
“Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, perdagangan dan eksport pada Mac 2025 mencatatkan pertumbuhan dua angka, dengan perdagangan meningkat sebanyak 11.6 peratus manakala eksport mengembang 16.1 peratus. Walau bagaimanapun, import mencatatkan peningkatan sebanyak 6.6 peratus,” katanya.
Bagi tempoh Januari hingga Mac 2025, MITI berkata, Malaysia mencatat nilai tertinggi bagi suku pertama perdagangan, eksport dan import.
Menurutnya, perdagangan pada suku pertama 2025 meningkat 3.6 peratus kepada RM715.73 bilion, sementara eksport mengembang 4.4 peratus kepada RM378.36 bilion, manakala import bertambah 2.8 peratus kepada RM337.37 bilion.
Sementara itu, ia berkata lebihan dagangan mencatatkan pertumbuhan dua angka sebanyak 20.1 peratus kepada RM41 bilion.
Dalam pada itu, MITI berkata, walaupun wujud ketidaktentuan dalam persekitaran perdagangan global akibat tarif yang dikenakan oleh AS, Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan unjuran Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada kadar 4.5 peratus hingga 5.5 peratus bagi 2025.
Buat masa ini, ia berkata, eksport 2025 dijangka berkembang sebanyak 5.2 peratus.
Namun begitu, katanya, langkah berhati-hati perlu diambil memandangkan ketidaktentuan permintaan global yang boleh menjejaskan pertumbuhan pelaburan dan permintaan domestik.
“Sebagai negara kecil yang mengamalkan perdagangan terbuka, Malaysia sememangnya terdedah kepada ketidaktentuan luaran yang semakin meningkat dalam landskap perdagangan global.
“Sehubungan itu, MITI bersama agensinya yang memfokuskan kepada eksport, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), akan terus memantau perkembangan global dengan lebih dekat bagi melindungi kepentingan ekonomi negara serta memastikan pertumbuhan perdagangan yang berterusan,” katanya. – UTUSAN