KUALA LUMPUR: Pengeksport komoditi Malaysia perlu meneroka pasaran baharu dan memberi tumpuan kepada pengeluaran produk berkualiti tinggi, ketika isu tarif Amerika Syarikat (AS) menjadi tajuk utama, kata Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Beliau berkata, AS bukan satu-satunya pasaran yang Malaysia fokuskan untuk mengeksport hasil komoditi.
“Tidak sepatutnya perniagaan kita lumpuh hanya kerana satu negara, sebaliknya kita perlu meluaskan pasaran.
“Lupakan tentang tarif, apa yang kita perlu lakukan ialah terus menghasilkan komoditi berkualiti untuk dieksport,” katanya kepada media selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara MSPO dan Nestle Malaysia, di sini semalam.
Washington telah mengenakan tarif sebanyak 24 peratus ke atas barangan Malaysia, termasuk komoditi yang memasuki pasaran AS, namun terdapat penangguhan selama 90 hari sementara rundingan untuk mengurangkan tarif sedang dijalankan.
Menurut beliau, eksport negara ke AS pernah tergendala akibat pandemik, tetapi kini kembali rancak.
“Produk seperti minyak sawit tidak mempunyai banyak alternatif di pasaran global selain Indonesia, maka permintaan masih kukuh,” ujarnya.
Johari turut mendedahkan, nilai eksport Malaysia ke AS tahun ini dianggarkan mencecah RM21 bilion, dengan RM4.9 bilion daripadanya disumbangkan oleh produk minyak sawit.
“Selain itu, eksport getah termasuk sarung tangan menyumbang RM8.2 bilion, perabot RM6.5 bilion dan produk koko seperti mentega koko sebanyak RM1.6 bilion.
“Kita perlu ingat bahawa pasaran Malaysia bukan hanya kepada AS dan Malaysia tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada pasaran AS kerana kapasiti eksport yang tidak digunakan boleh dialihkan ke pasaran lain.
“Yang penting, kita terus hasilkan produk berkualiti tinggi, sama seperti Nestle dan syarikat antarabangsa lain tidak hanya mencari harga murah, mereka cari kualiti untuk jaga reputasi jenama mereka,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menekankan komitmen kerajaan terhadap kelestarian dan keterangkuman dalam rantaian nilai minyak sawit negara.
“Sebanyak 450,000 pekebun kecil menjadi tulang belakang sektor ini dan tidak boleh diketepikan dalam pelaksanaan pensijilan lestari.
“Berbeza dengan skim pensijilan antarabangsa yang sering abaikan pekebun kecil, MSPO mengangkat mereka sebagai elemen utama dan kerajaan turut membantu dari segi kos audit pensijilan.
“Kerajaan memastikan hasil pekebun kecil yang sudah diperakui lestari akan dibeli pada harga yang adil dan diproses untuk pasaran global melalui kerjasama dengan syarikat besar yang mempunyai kilang penapis dan kemudahan lain.
“Inisiatif ini penting untuk memastikan industri minyak sawit kita terus inklusif, berdaya saing dan mampan. Ini bukan sahaja mengenai eksport, tapi juga tentang masa depan sektor komoditi negara,” katanya.
Beliau berkata, dalam sektor komoditi, tiada jaminan yang tetap kerana landskap perdagangan sangat dinamik dan bergantung kepada dasar negara pengimport.
“Maka, kita perlu bersedia dan menyesuaikan strategi eksport supaya tidak terlalu bergantung kepada mana-mana satu pasaran,” katanya
Malaysia secara keseluruhannya mengeksport komoditi bernilai RM186 bilion setahun ke seluruh dunia, dengan sekitar RM120 bilion daripadanya melibatkan minyak sawit dan produk berkaitannya.
Selain itu, pasaran utama minyak sawit Malaysia pada masa ini adalah di China, India dan Eropah dan AS bukan pembeli terbesar, tetapi tetap penting. – UTUSAN