INSIDEN letupan paip gas yang berlaku di Putra Heights pada 1 April lalu dilaporkan memberi kesan sementara terhadap sentimen pasaran hartanah di kawasan berkenaan.
Perunding Hartanah IQI Realty Sdn. Bhd., Kamil Ghazali berkata, menurut pemerhatian semasa, pembeli kini lebih berhati-hati dan mengambil pendekatan tunggu dan lihat sebelum membuat sebarang keputusan untuk membeli hartanah di kawasan tersebut.
“Permintaan terhadap hartanah di Putra Heights masih wujud dan terdapat pembeli yang terus membuat pertanyaan mengenai unit kediaman di kawasan berkenaan.
“Kami masih menerima pertanyaan daripada pembeli yang berminat untuk memiliki hartanah di sini, walaupun ada yang mengambil pendekatan tunggu dan lihat buat masa ini,” katanya.
Kamil juga berpengalaman mengendalikan pelanggan di beberapa lokasi seperti Putrajaya, Cyberjaya, Putra Heights, Kuala Lumpur, Bangi dan Kajang.
Beliau yang mempunyai pengalaman 10 tahun dalam bidang hartanah itu menambah bahawa insiden tersebut dijangka hanya memberi kesan jangka pendek dan keyakinan terhadap kawasan itu akan kembali seiring dengan usaha pemulihan serta kekuatan infrastruktur sedia ada.
“Malah, dari sudut pemilik masih ramai yang mengekalkan harga jualan atau penurunan yang tidak banyak,” katanya.
“Malah, terdapat juga pembeli yang menangguhkan proses pembelian bagi menilai kestabilan dan keselamatan kawasan itu selepas kejadian
“Bagaimanapun, kita percaya hartanah di situ dijangka akan kekal stabil,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Sementara itu, bakal pembeli, Mohd. Badrul Zakaria, 30 berkata, dia tidak bersetuju untuk membeli di kawasan insiden letupan gas seperti di Putra Height.
“Kawasan itu agak berisiko. Sebaiknya pihak pemaju perlu memaklumkan kawasan berisiko kepada pembeli supaya pembeli lebih berhati-hati,” katanya.
Pekerja swasta, Fatimah Hanum, 44 berkata, rentetan tragedi Putra Heights, dia berasa tidak yakin untuk membeli rumah yang terkesan dari tragedi tersebut.
“Hal ini kerana, tragedi seperti ini tidak pernah berlaku selama ini dan tidak dapat dipastikan apakah kesan jangka masa panjang kerosakan yang berlaku pada kediaman tersebut.
“Menduduki kediaman tersebut juga akan mengingatkan saya kepada trauma yang dialami oleh mangsa-mangsa. Secara peribadi, agak keberatan bagi saya membeli rumah di kawasan tersebut,” katanya.-UTUSAN










