PETALING JAYA: Petronas Energy & Gas Trading Sdn. Bhd. (PEGT) memperoleh tambahan bekalan gas sebanyak 155 juta kaki padu piawai sehari (MMSCFD), menjadikan jumlah keseluruhan bekalan gas meningkat kepada 400 MMSCFD melalui sistem paip gas Trans Thailand-Malaysia (TTM).
Tambahan bekalan itu telah menstabilkan bekalan gas di kawasan utara Semenanjung Malaysia termasuk Bestari Jaya, Meru dan Kapar, sekali gus mengurangkan kekurangan bekalan di wilayah Utara dan Tengah.
PEGT berkata, langkah itu diambil bagi meminimumkan kesan gangguan bekalan gas susulan insiden kebakaran saluran paip di Putra Heights di Subang Jaya, Selangor dengan memperoleh tambahan jumlah bekalan gas ke kawasan yang terjejas.
“Bekalan gas tambahan ke kawasan utara Semenanjung termasuk Bestari Jaya, Meru dan Kapar berjaya menstabilkan bekalan selain mengurangkan kekurangan bekalan di kawasan utara dan tengah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
PEGT berkata, pihaknya menyediakan tambahan bekalan gas sebanyak 86 mmscfd ke Serdang City Gate bagi rangkaian Pengedaran Lembah Klang yang saling bersambung.
PEGT kini giat berusaha dengan menjalin kerjasama rapat bersama Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) serta Suruhanjaya Tenaga (ST).
Di samping itu, PEGT turut bekerjasama dengan pengangkut, pengedar, pembekal, pihak penghantar gas lain, pelanggan serta pihak berkepentingan yang relevan bagi meneroka pelbagai kaedah untuk menguruskan kekangan penghantaran gas di lokasi yang terlibat.
“Usaha ini turut melibatkan kerjasama bersama Gas Malaysia Berhad dalam usaha meningkatkan keupayaan rangkaian pengagihan gas.
“Empat loji janakuasa yang terjejas pada awalnya adalah Connaught Bridge, Pulau Indah, Serdang, dan Kapar. Namun begitu, PEGT mengesahkan bahawa bekalan gas ke loji janakuasa Kapar dan Serdang telah dipulihkan dan kedua-dua loji kini beroperasi seperti biasa,” katanya.
Selain itu, PEGT turut membantu membekalkan gas kepada Kapar Energy Ventures bagi menyokong keperluan permulaan unit janakuasa.
Berdasarkan pelan dan perkembangan terkini yang dikongsikan oleh Petronas Gas Berhad (PGB) selaku pemilik infrastruktur, anggaran tarikh pemulihan bekalan gas yang terbaik setakat ini adalah seawal 1 Julai 2025, tertakluk kepada hasil siasatan yang sedang dijalankan, kelulusan pihak berkuasa dan kemajuan sebenar di tapak.
PEGT juga telah memaklumkan jangkaan masa ini kepada pelanggan yang terjejas susulan kemas kini diterima daripada PGB.
PEGT, bersama-sama ST, PETRA, Pengendali Sistem Grid serta loji-loji janakuasa yang terlibat akan terus bekerjasama rapat bagi memastikan gangguan terhadap sektor tenaga dapat dikurangkan ke tahap minimum.
PEGT kekal komited untuk memastikan kestabilan bekalan gas dan akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa serta pihak berkepentingan yang berkaitan. – UTUSAN