KUALA LUMPUR: GlobalData PLC, firma penyelidikan pasaran mengunjurkan pasaran pembungkusan negara ini akan terus berkembang daripada 20.8 bilion unit pada tahun 2023 kepada 23.7 bilion unit pada 2028, dengan purata kadar pertumbuhan tahunan (CAGR) 2.7 peratus.
Pengurus Pembangunan Perniagaannya, Paul Savuriar berkata, pertumbuhan akan didorong oleh peningkatan permintaan untuk produk makanan dan minuman iaitu pembungkusan fleksibel dengan penguasaan pasaran 31.5 peratus atau 6.6 bilion unit pada 2023.
Katanya, pembungkusan jenis itu menawarkan kos rendah, mudah digunakan dan bersifat lestari akan mencapai CAGR terpantas berbanding pembungkusan jenis lain iaitu sebanyak 3.5 peratus dari tahun 2023 hingga 2028, berbanding CAGR 4.1 peratus dalam tempoh lima tahun sebelumnya.
“Pembungkusan fleksibel paling banyak digunakan dalam industri makanan, kosmetik dan barangan penjagaan diri.
“Bungkusan jenis kertas dan kadbod juga popular dengan penguasaan pasaran kedua tertinggi pada 27.7 peratus pada 2023 dan unjuran CAGR tiga peratus dari 2023 hingga 2028, diikuti dengan plastik keras, besi serta kaca,” katanya.
Beliau berkata demikian pada acara Jelajah ProPak Asia 2025 International@Malaysia di sini hari ini.
Acara perdagangan antarabangsa teknologi pemprosesan dan pembungkusan makanan, minuman dan farmaseutikal itu bakal diadakan di Bangkok dari 11 hingga 14 Jun 2025.
Mengulas mengenai impak tarif import Amerika Syarikat (AS) kepada industri pembungkusan tempatan, Paul berkata, jenama global mungkin mengalihkan operasi pembuatan dan pembungkusan ke ASEAN terutamanya Malaysia, disokong lokasinya yang strategik dan hubungan perdagangan.
“Ketika ini menyediakan peluang buat pengeluar tempatan, sekiranya Malaysia terus mengimport bahan mentah dari China, mungkin terdapat kesan titisan (trickle effect) akibat pengenaan tarif, apabila pembekal China menaikkan harga jualan mereka untuk menampung kos tarif.
“Pada masa sama, ia boleh merangsang kitar semula dan penggunaan sumber tempatan alternatif seperti sabut kelapa sawit, hampas tebu dan sekam untuk mengurangkan kebergantungan kepada bahan asing,” ujarnya.-UTUSAN