Mini Convertible Gen 4: Makin matang, masih seksi

Mini Convertible Gen 4: Makin matang, masih seksi

MINI Cooper S Convertible generasi keempat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEJAYAAN BMW untuk menghidupkan kembali jenama Mini membuktikan bahawa syarikat automotif dari Munich ini tahu sedikit sebanyak tentang kenderaan gaya hidup.

Ia adalah satu fakta yang membuatkan seteru tradisional mereka, Mercedes-Benz geram kerana mereka mencuba laluan yang sama dengan Smart, tetapi gagal dan terpaksa mengharapkan Geely untuk meneruskan jenama gaya hidup itu.

Rahsia kejayaan BMW untuk Mini boleh dikatakan kerana ia meneruskan lagi elemen-elemen tradisional pada jenama Inggeris itu.

Reka bentuk ikonik Mini itu juga dikekalkan tanpa lupa akan kehendak peredaran semasa.

Contohnya, Mini tidak lagi sekecil kenderaan Mr Bean. Kabin Mini juga tidak lagi seringkas dahulu, ia secanggih produk-produk BMW yang lain.

Paling penting untuk kaki kereta, Mini masih seronok dipandu, walaupun bagi versi bumbung boleh buka atau Convertible.

Penulis dibawa ke Barcelona, Sepanyol untuk mencuba Mini Convertible Generasi Keempat.

Dari segi reka bentuk, bahagian depan Mini ini sama seperti Mini generasi keempat, tetapi bahagian belakang model ini gagal menyorokkan kebenaran.

Sebenarnya, generasi keempat Mini ini hanya datang dalam bentuk elektrik sahaja. Varian dengan enjin petrol, termasuk Convertible ini, masih menggunakan platform generasi ketiga tetapi diberikan bentuk luaran yang baharu.

Untuk Convertible, lampu hadapan memang dari generasi keempat tetapi lampu belakang dikekalkan dari generasi ketiga.

Tidak mengapalah, kerana pasaran untuk Mini ini lebih kepada paras rupa yang ranggi dan Mini Convertible ini berjaya dari segi itu.

Mini Convertible ini juga akhirnya kembali semula ke kilang Mini di Oxford, United Kingdom (UK) selepas sekian lama dibina di Belanda.

Datang dengan dua pilihan enjin turbo (1.5L dan 2.0L) serta tiga varian (Cooper C Convertible, Cooper S Convertible dan Cooper Works Convertible), penulis mencuba varian pertengahan yang akan dilancarkan di Malaysia kelak.

Cooper S Convertible dilengkapi dengan enjin turbo 2.0L empat silinder yang menghasilkan 201hp dan 300Nm dan mampu memcut dari pegun ke 100 kilomter sejam (kmsj) dalam masa 6.9 saat.

Transmisi tujuh kelajuan automatik menjadikan pemanduan cukup mudah dan juga sporty.

Dari segi saiz, semua tahu Mini bukan lagi cilik tetapi untuk dunia sekarang, ia boleh dikategorikan sebagai sebuah kenderaan kompak sporty.

Dengan ukuran 3.88 meter panjang, 1.75 meter lebar dan 1.43 meter tinggi, Mini Convertible ini sebenarnya 15 milimeter (mm) lebih pendek dan 85 mm lagi rendah dari Perodua Myvi, tetapi 10 mm lebih lebar.

Ruang bonet sebenarnya sama seperti Mini Convertible generasi ketiga, mungkin kerana platform yang sama. Bila bumbung dibuka, ada 215 liter ruang untuk barang dan bila bumbung dilipat, ia menjadi sebesar 160 liter. 

Apa yang berbeza ialah Mini Convertible generasi keempat ini mempunyai bahagian atas yang boleh ‘diangkat’ sedikit bagi memudahkan proses memasukan barangan anda ke ruang bonet.

Dari segi reka bentuk kabin, kesemua ciri-ciri yang ada pada Mini EV generasi keempat jelas kelihatan. Ini termasuklah skrin sesentuh sebesar 9.4 inci – skrin sesentuh OLED bulat terbesar dalam sebuah kenderaan sekarang.

RUANG kabin.

Di bawah skrin bulat sebesar pinggan makan Arcopal itu terletak satu panel ringkas dengan beberapa tuil dan tombol, bermula dari butang brek parkir, tuil gear, tombol penghidup enjin, tuil mod pemanduan dan butang pembesar suara.

Ya, tuil gear itu memang cukup kecil dan sayang sekali paddle shifter di belakang stereng ialah satu aksesori tambahan dan tidak didatangkan secara standard.

Mungkin Mini tahu mereka yang membeli Mini Convertible tidak begitu menggunakan fungsi tukaran gear secara manual.

Sesi pemanduan di laluan berbukit dan berliku di pinggir bandar Barcelona memang cukup sempurna untuk Mini Convertible generasi ketiga ini.

Enjin yang ligat dengan transmisi yang pantas membuatkan penulis lupa kebanyakan pembeli kenderaan bumbung boleh buka ialah anak-anak muda yang lebih asyik dengan pemandangan kawasan sekeliling atau Datin-Datin yang mahu dilihat ‘muda’.

Namun begitu jika anda seorang yang mahukan prestasi pemanduan yang baik, Cooper S Convertible ini tidak akan menghampakan. Ia kekal lincah dan sporty tetapi tidak begitu kasar seperti dahulu.

Walaupun kerangka hanya tinggal separuh kerana bumbung yang boleh dibuka, keutuhan platform masih dirasakan kerana lantai yang diperkukuhkan untuk membolehkan penulis melayan selekoh-selekoh tajam tanpa merasakan ia meliuk.

Convertible sering dikaitkan dengan isu scuffle shake, iaitu platform yang bergegar teruk bila melalui laluan tidak rata atau lubang. Penulis dengan sukacitanya ingin memaklumkan bahawa masalah itu tidak wujud dengan Cooper S Convertible ini.

Laju atau perlahan, Cooper S Convertible terasa sungguh selesa dan ini membuktikan kematangan produk itu sendiri.

Ada banyak mod pemanduan yang disediakan, lengkap dengan input grafik dan audio yang mungkin menyeronokan pemandu muda. Skrin OLED yang besar itu juga masih terang di bawah sinar mentari terik dan bumbung boleh dibuka dalam tempoh 18 saat pada kelajuan maksimum 30 kmsj.

Tempat duduk dibalutkan dengan bahan yang seakan kulit, tetapi lebih kepada bahan yang mapan, sesuatu yang penting untuk generasi muda sekarang.

Secara ringkas, jika dahulu varian Convertible memerlukan pengorbanan dari segi keselesaan dan kejituan platform, Mini Convertible generasi keempat adalah sebuah jentera ranggi yang jauh lebih selesa dengan kerangka yang cukup kukuh untuk membenarkan si bapa meminjam Mini ini pada hujung minggu untuk ‘berjuang’ bersama rakan-rakan lain dengan kenderaan-kenderaan sporty mereka.

 

Mini Convertible Cooper S Generasi Keempat

Enjin: 2.0L turbocharger 4-silinder

Kuasa maksimum: 201 hp @ 5,000 rpm

Daya kilas maksimum: 300 Nm @ 1,450 rpm

Transmisi: 7-kelajuan automatik dwi klac

Kelengkapan keselamatan: Antaranya ialah AEB, LKA dan ADAS

Harga: Belum diumumkan untuk pasaran Malaysia-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×