KUALA LUMPUR: Malaysia Aviation Group (MAG) menjangkakan peningkatan kos yang ketara dalam rantaian nilai industri penerbangan dengan kenaikan harga komponen pesawat antara lima hingga 14 peratus ekoran pelaksanaan tarif Amerika Syarikat (AS).
Ketua Pegawai Strategi dan Transformasi Kumpulan Mag, Bryan Foong Chee Yeong berkata, langkah-langkah perdagangan AS akan memberi tekanan terhadap kestabilan rantaian bekalan.
“Kami menjangkakan tekanan kos akan berlaku. Implikasi rejim tarif AS akan memberi kesan kepada kami dalam pelbagai aspek kenaikan kos, kebimbangan terhadap permintaan akibat kemelesetan dan rantaian bekalan global yang tidak stabil,” katanya ketika pembentangan prestasi kewangan MAG 2024 di sini.
Beliau berkata, komponen dan alat ganti pesawat dijangka paling terkesan, dengan pembekal telah mula memberi isyarat berlakunya kenaikan kos input ke atas barangan kritikal.
“Ini berlaku ketika MAG sedang melaksanakan pembaharuan dan pengembangan armada secara aktif, menjadikan kebolehjangkaan kos sebagai perkara utama yang perlu diberi perhatian oleh kumpulan,” katanya.
Bagi menguruskan cabaran ini, MAG telah mengarahkan semua pasukan untuk lebih berdisiplin dalam pengurusan kos.
“Contohnya, pengimbangan harga bahan api akan dinaikkan kepada 50 peratus, berbanding kadar semasa 25 hingga 30 peratus, bagi meningkatkan kestabilan kos operasi,” katanya.
Dalam pada itu, Bryan berkata, rangkaian antarabangsa MAG kekal sebagai pemacu utama pendapatan, yang membantu mengimbangi ketidaktentuan nilai ringgit dan meningkatkan hasil per kilometer tempat duduk tersedia (ASK).
“Kami akan terus memberi tumpuan kepada laluan antarabangsa, yang dalam dua hingga tiga tahun kebelakangan ini menyumbang kepada jumlah besar dan pendapatan margin tinggi bagi kumpulan,” katanya.
Bryan berkata, walaupun MAG terus melabur dalam pengalaman pelanggan melalui peningkatan produk dan perkhidmatan, beliau menekankan bahawa ketangkasan operasi (operational agility) adalah elemen penting bagi menghadapi 2025 yang dijangka penuh ketidaktentuan.
“2025 akan menjadi satu lagi tahun yang mencabar dalam industri penerbangan. Kami sedang mempercepat transformasi dan bersiap sedia untuk fasa pertumbuhan seterusnya, namun kami amat peka terhadap risiko global termasuk ketidakstabilan geopolitik, gangguan rantaian bekalan dan kekurangan bakat kerja,” katanya.
Beliau juga menyatakan bahawa keselamatan siber akan menjadi keprihatinan yang semakin meningkat.
Katanya, selain itu, pemuliharaan dan pembangunan bakat turut menjadi fokus MAG, yang mengakui terdapat kekurangan tenaga kerja berterusan dalam sektor penerbangan.
“Isu ini bukan hanya melibatkan kami sahaja, tetapi merupakan cabaran seluruh industri. Bagaimanapun, kami telah merangka pelan bagi mengukuhkan saluran bakat dan meningkatkan kadar pemuliharaan kakitangan,” katanya. – UTUSAN