KUALA LUMPUR: Malaysia Aviation Group (MAG) mencatat keuntungan bersih sebanyak RM54 juta bagi tahun kewangan 2024, menandakan keuntungan operasi buat tahun ketiga berturut-turut berjumlah RM113 juta.
Prestasi ini digariskan oleh pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) kukuh sebanyak RM788 juta meskipun berdepan masalah operasi, termasuk pemotongan rangkaian proaktif pada suku tahun keempat yang mengurangkan kapasiti sebanyak 18 peratus.
Pengarah Urusan Kumpulan MAG, Datuk Izham Ismail berkata, 2024 menjadi bukti kepada daya tahan dan komitmen pihaknya terhadap pertumbuhan dan kelestarian.
“Dalam menghadapi cabaran operasi, kami bukan sahaja mengekalkannya keuntungan tetapi memastikan kumpulan berada pada kedudukan strategik untuk masa hadapan,” katanya kepada pemberita selepas pengumuman prestasi tahunan MAG 2024 di sini.
Kumpulan mengekalkan baki tunai sebanyak RM3 bilion pada 31 Disember 2024, tanpa sebarang suntikan modal daripada pemegang saham utamanya, Khazanah Nasional Berhad sejak Oktober 2021.
Pemotongan kapasiti, didorong oleh gangguan rantaian bekalan yang memanjangkan masa penyelenggaraan dan kelewatan dalam penghantaran pesawat baharu, dilaksanakan pada suku tahun yang secara tradisinya kukuh, memberi kesan kepada hasil setahun penuh Kumpulan yang berjumlah RM13.68 bilion, daripada RM13.85 bilion pada 2023.
Bagaimanapun, trafik penumpang premium dan kargo kekal teguh dengan faktor muatan lebih baik untuk kedua-dua segmen.
Kumpulan turut mengembangkan rangkaian antarabangsanya melalui laluan baharu dan perkongsian.
NIAT positif kumpulan disokong pembalikan rosot nilai pada hak menggunakan aset, pesawat, hartanah, loji dan peralatan, serta aset tidak ketara berjumlah RM426 juta.
Rosot nilai berkenaan, pada mulanya diiktiraf semasa pandemik Covid-19 pada 2020, telah dibalikan disebabkan oleh peningkatan hasil kapasiti, faktor tempat duduk, dan hasil yang dialami pada tahun kewangan 2023 dan 2024.
Dalam pada itu, Izham berkata, MAG melaksanakan pemotongan kapasiti secara proaktif sebanyak 18 peratus pada suku keempat yang kebiasaannya merupakan tempoh puncak perjalanan disebabkan gangguan rantaian bekalan, tempoh penyelenggaraan yang berpanjangan, serta kelewatan penghantaran pesawat.
Katanya, pengurangan kapasiti ini menyebabkan penurunan hasil sebanyak 1 peratus berbanding tahun sebelumnya, dengan jumlah pendapatan sebanyak RM13.68 bilion, walaupun Tersedia Kilometer Tempat Duduk (ASK) meningkat sebanyak 6 peratus.
“Langkah-langkah ini turut memberi kesan besar kepada Malaysia Airlines Berhad (MAB), syarikat penerbangan utama kumpulan itu, yang mencatat penurunan keuntungan operasi sebanyak 87 peratus kepada RM139 juta, berbanding RM1.09 bilion pada tahun 2023.
”Walaupun pemotongan ini menjejaskan potensi pendapatan, MAG masih mengekalkan kedudukan tunai yang kukuh sebanyak RM3 bilion, dan tidak memerlukan suntikan modal tambahan daripada Khazanah Nasional sejak tahun 2021.
“Faktor muatan bagi kedua-dua segmen penumpang dan kargo kekal kukuh, dengan faktor muatan penumpang meningkat kepada 80 peratus,” katanya. – UTUSAN