SHAH ALAM: Lembaga Zakat Selangor (LZS) optimis dapat mencapai sasaran RM2 bilion kutipan zakat menjelang 2030.
Pengerusi LZS, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail, sasaran itu selaras dengan pencapaian membanggakan LZS selama tiga tahun berturut-turut melebihi RM1 bilion.
“Trend peningkatan ini dapat dilihat amat baik dan semakin positif.
“Malah, ketika semasa pandemik Covid-19 juga kutipan zakat amat baik. Jadi, sasaran RM2 bilion ini optimis dapat dicapai,” katanya pada sidang akhbar pengumuman kutipan dan agihan zakat 2024 dan Pelancaran Laporan Kelestarian LZS di sini hari ini.
Menurut beliau, orang ramai mula mempercayai LZS sebagai agensi pembayar zakat yang dipercayai di negara ini.
“Apa yang mustahak adalah agihan diberikan kepada lapan kategori asnaf dengan tepat.
“Ini semua melibatkan integriti dan amanah yang menjadi tunjang utama LZS sepanjang penubuhannya,” jelasnya.
Beliau turut menjangkakan agensi dapat meraih kutipan zakat sebanyak RM1.328 bilion pada tahun ini.
Kutipan zakat bagi 2024 mencatatkan RM1.22 bilion, meningkat 9 peratus berbanding RM1.12 bilion pada tahun 2023, hasil sokongan lebih 380,000 pembayar zakat di seluruh Selangor.
Zakat pendapatan kekal sebagai penyumbang utama mengikut jenis zakat dengan jumlah RM712 juta atau 58 peratus daripada keseluruhan kutipan, manakala potongan gaji terus menjadi saluran pembayaran tertinggi dengan kutipan RM546 juta (45 peratus).
Jenis zakat lain termasuk zakat perniagaan (RM199 juta), zakat simpanan (RM130 juta), zakat harta (RM70 juta) dan zakat fitrah (RM41 juta).
Kutipan zakat melalui saluran ’Direct Debit’ mencatatkan pertumbuhan tertinggi antara semua saluran kutipan, dengan peningkatan 60 peratus tahun ke tahun, berjumlah RM1.4 juta.
Lonjakan ini menggambarkan kesediaan pembayar zakat untuk beralih kepada kaedah yang lebih konsisten dan mudah.
Kepelbagaian latar belakang pembayar dari individu hingga syarikat korporat turut menggambarkan peningkatan kesedaran serta budaya pematuhan zakat yang semakin kukuh di Selangor. – UTUSAN