Ekonomi Malaysia dianggar berkembang 4.4% pada suku pertama - Utusan Malaysia

Ekonomi Malaysia dianggar berkembang 4.4% pada suku pertama

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ekonomi Malaysia dijangka berkembang 4.4 peratus pada suku pertama tahun ini, lebih perlahan daripada pengembangan 5.0 peratus pada suku sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia kekal kukuh dalam situasi cabaran global yang berlarutan, disokong oleh asas ekonomi domestik yang berdaya tahan.

“Sektor pembuatan merekodkan peningkatan output 4.8 peratus pada Februari, dipacu terutamanya oleh industri berorientasikan eksport.

“Perayaan bermusim seperti sambutan Tahun Baharu Cina, persediaan Ramadan dan pembukaan semula tahun persekolahan telah membantu memastikan aktiviti ekonomi kekal positif.

“Faktor-faktor ini menyumbang kepada prestasi jualan perdagangan edaran yang lebih kukuh dengan peningkatan 5.1 peratus pada Februari berbanding 4.6 peratus pada bulan sebelumnya, terutamanya disokong oleh prestasi kukuh dalam kedua-dua perdagangan borong dan runcit,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, pasaran buruh kekal memberangsangkan dengan peningkatan guna tenaga yang berterusan dan kadar pengangguran yang stabil pada 3.1 peratus.

“Bagi sektor luaran, aktiviti perdagangan berterusan disokong oleh permintaan global yang lebih baik bagi barangan eksport utama.

“Secara keseluruhan, komponen domestik dan luaran membantu mengurangkan kesan ekonomi dalam menghadapi cabaran global, seterusnya menyokong pertumbuhan bagi suku tahun ini,” ujarnya.

Bagi prestasi mengikut sektor, beliau berkata, perkhidmatan kekal menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi pada suku pertama 2025, mencatatkan pertumbuhan 5.2 peratus berbanding 5.5 peratus pada suku keempat 2024.

“Ini diterajui oleh subsektor perdagangan borong dan runcit, pengangkutan dan penyimpanan serta maklumat dan komunikasi.

“Sektor pembuatan mencatatkan pertumbuhan 4.2 peratus berbanding suku tahun keempat 2024,terutamanya disokong oleh pengeluaran yang kukuh dalam produk elektrik, elektronik dan optikal serta minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan serta prosesan makanan.

“Sektor pembinaan pula merekodkan pertumbuhan dua digit bagi lima suku tahun berturut-turut dengan pertumbuhan 14.5 peratus berbanding 20.7 peratus pada suku tahun keempat 2024, disokong terutamanya oleh aktiviti pembinaan pertukangan khas dan bangunan kediaman.

“Sektor pertanian mencatatkan peningkatan marginal 0.7 peratus berbanding negatif 0.5 peratus pada suku tahun keempat 2024, didorong oleh subsektor perikanan,” ujarnya.

Sementara itu, sektor perlombongan dan pengkuarian terus menyusut kepada negatif 4.9 peratus berbanding negatif 0.9 peratus pada suku keempat 2024, dipengaruhi oleh pengeluaran yang lebih rendah dalam semua subsektor. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya