KUALA LUMPUR: Bank Rakyat mengumumkan pembayaran dividen 17 peratus bagi tahun kewangan 2024, sekali gus mengekalkan prestasi kadar dividen dua digit untuk tempoh lebih 20 tahun.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop), Datuk Ewon Benedick berkata, dividen membabitkan jumlah pembayaran bernilai RM486.32 juta itu akan dilakukan mulai hari ini (semalam) yang bakal memanfaatkan 773,859 anggota.
Jelasnya, prestasi kewangan yang memberangsangkan membolehkan Bank Rakyat mengoptimumkan modal dan mengekalkan pembayaran dividen yang tinggi sebagai ganjaran kepada semua anggota dan pihak berkepentingannya untuk sokongan berterusan mereka.
“Kumpulan Bank Rakyat meneruskan sokongan terhadap mandat tahunan untuk ekosistem koperasi dengan menyumbang sebanyak dua peratus daripada keuntungan sebelum cukai dan zakat berjumlah RM36.43 juta kepada Kumpulan Wang Amanah Pendidikan Koperasi dan satu peratus bersamaan RM18.22 juta kepada Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Koperasi.
“Jumlah sumbangan bagi 2024 adalah sebanyak RM54.65 juta berbanding RM53.21 juta pada tahun sebelumnya,” katanya pada majlis pengumuman prestai kewangan dan dividen Kumpulan Bank Rakyat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 di Menara Kembar Bank Rakyat, di sini semalam.
Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohamad Irwan Mohd. Mubarak berkata, kumpulan merekodkan keuntungan sebelum cukai dan zakat yang lebih tinggi sebanyak RM1.82 bilion berbanding RM1.76 bilion pada tahun sebelumnya, peningkatan sebanyak 3.15 peratus atau RM55.43 juta.
Ujarnya, prestasi yang lebih tinggi ini dicapai melalui kekukuhan asas, fokus terhadap aktiviti teras dan didorong oleh keadaan ekonomi domestik yang bertambah baik untuk kekal berdaya tahan meskipun ketidaktentuan pasaran ekonomi global dan persekitaran perbankan semakin mencabar.
“Walaupun margin bersih masih dalam fasa penstabilan, komitmen teguh kumpulan untuk kekal berdaya tahan telah membuahkan hasil yang positif dalam tahun kewangan 2024.
“Prestasi memberangsangkan ini dipacu oleh tawaran menarik berterusan kumpulan dalam segmen pembiayaan pengguna, di samping memberi tumpuan kepada pendapatan bukan berasaskan dana dengan mengadaptasi pendigitalan dan meneroka pasaran golongan berpendapatan sederhana tinggi serta meningkatkan kualiti aset secara keseluruhan,” ujarnya.
Sementara itu, pendapatan utama kumpulan meningkat sebanyak 0.36 peratus kepada RM6.69 bilion didorong pertumbuhan kukuh baki pembiayaan kasar sebanyak 2.94 peratus.
Jelasnya, selari dengan pelan aspirasi strategik lima tahun (BR25), kumpulan terus mendapat manfaat menerusi diversifikasi portfolio terutamanya Pembiayaan Perumahan-i, Pembiayaan Kenderaan-i dan Pajak Gadai-i.
“Strategi deposit kumpulan dan usaha yang bersasarkan deposit kos rendah telah menyumbang kepada peningkatan Akaun Semasa-i, Akaun Simpanan-i dan Akaun Pelaburan-i (CASAIA) sebanyak 5.50 peratus kepada RM10.75 bilion.
“Prestasi kumpulan yang lebih baik ini turut disokong oleh peningkatan pendapatan pendapatan operasi lain sebanyak 23.69 peratus atau RM137.39 juta kepada RM717.39 juta,” ujarnya. – UTUSAN