KUALA LUMPUR : CUCKOO International (MAL) Berhad (CUCKOO Malaysia)mengumumkan penjadualan semula Penawaran Awam Permulaan (IPO) di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Malaysia) kepada 24 Jun 2025.
Penangguhan ini dibuat berikutan ketidaktentuan pasaran global yang sedang melanda ketika ini. Sebelum ini, penyenaraian CUCKOO Malaysia dijadualkan pada 30 April ini.
Bagaimanapun, syarikat itu memaklumkan, setelah mengambil kira keadaan pasaran semasa, pihak pengurusan membuat keputusan strategik untuk menangguhkan penyenaraian demi memastikan kejayaan jangka panjang dan kelestarian kemasukan syarikat ke pasaran modal.
Menurut Pengarah Eksekutif Bukan Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutif CUCKOO Malaysia, Hoe Kian Choon, keputusan itu diambil berdasarkan penilaian yang teliti terhadap cabaran pasaran semasa.
“Kami yakin bahawa langkah ini akan memberi peluang yang lebih baik kepada syarikat serta pelabur. Kami tetap optimis dengan prospek pertumbuhan jangka panjang CUCKOO Malaysia.
“Berikutan perubahan ini, syarikat akan menerbitkan prospektus tambahan dan membuka tempoh penarikan balik permohonan langganan pelabur bagi pelabur yang ingin membatalkan permohonan IPO mereka,” katanya dalam kenyataan.
Berdasarkan kenyataan itu, maklumat lanjut mengenai prospektus tambahan dan proses penarikan balik akan diumumkan dalam masa terdekat melalui laman sesawang rasmi Bursa Malaysia (www.bursamalaysia.com) dan CUCKOO Malaysia (www.cuckoo.com.my/Investor-Relations).
Tempoh permohonan IPO kekal dibuka dan akan ditutup pada 5 Jun 2025, dengan tarikh penyenaraian baharu dijadualkan pada 24 Jun 2025.
Kian Choo berkata, walaupun penjadualan semula ini dilakukan, CUCKOO Malaysia menegaskan komitmennya terhadap misi untuk memperkasakan gaya hidup sihat dan mencipta kediaman sihat untuk semua.
“CUCKOO turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak berkepentingan atas sokongan dan keyakinan yang diberikan,” katanya. – UTUSAN










