BZI labur AS$500 juta bina loji penapisan SAF

BZI labur AS$500 juta bina loji penapisan SAF pertama di Asia Tenggara

NIK Nazmi Nik Ahmad (belakang, dua dari kiri) majlis menandatangani perjanjian antara BZI dan FHE di sini, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bin Zayed International (BZI) dan syarikat tempatan FatHopes Energy (FHE) akan membangunkan kilang penapisan bahan api penerbangan mampan (SAF) pertama seumpamanya di Asia Tenggara bernilai AS$500 juta (RM2.39 bilion) di Pelabuhan Klang.

Gabungan kepakaran pelaburan global BZI dengan kepimpinan FHE dalam pengumpulan bahan mentah biofuel mampan bakal membentuk asas kepada kemudahan pengeluaran SAF yang berskala besar dan antara yang paling maju di Asia Tenggara.

Pengarah Urusan BZI Malaysia, Datuk Seri Dr. Shamir Kumar Nandy berkata, kerjasama ini bukan hanya pelaburan komersial, malah satu kenyataan komitmen jangka panjang mereka terhadap masa depan lestari Malaysia.

“Kami membina asas kepada satu platform SAF yang berskala besar, boleh dikomersialkan dan sejajar dengan matlamat iklim global.

“Buat masa ini, kami menanggung keseluruhan jumlah tersebut dan FHE sedang dalam proses mendapatkan kelulusan dan sekatan yang diperlukan sebelum kerja-kerja pembinaan dapat dimulakan.

“Mengikut jangkaan semasa, kerja-kerja pecah tanah dijangka akan bermula dalam tempoh 12 bulan dari sekarang,” katanya dalam ucapan majlis menandatangani perjanjian antara BZI dan FHE di sini, semalam.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Eksekutif FHE, Vinesh Sinha berkata, pihaknya akan membekalkan bahan mentah daripada minyak terpakai melalui sistem digital mereka yang terbukti dapat mengesan dan mengesahkan sumber bahan secara telus dan berintegriti.

“Projek ini dijangka memuktamadkan keputusan pelaburan akhir (FID) menjelang pertengahan 2026, dengan operasi komersial disasarkan bermula 2029.

“Dengan langkah ini, Malaysia bukan sahaja bakal menjana ekonomi baharu yang mampan, malah memperkukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam penyelesaian tenaga masa depan,” katanya.

Sementara itu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad menyifatkan kerjasama ini sebagai satu pencapaian penting untuk negara.

“Pengumuman ini menjadi detik penentu kepada aspirasi negara untuk muncul sebagai peneraju dalam bahan api penerbangan bersih sejajar dengan Pelan Peralihan Tenaga Negara serta peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN.

“Usaha ini juga penting untuk keselamatan tenaga negara. Dengan mengurangkan kebergantungan kepada SAF import dan membina kapasiti sebagai pengeluar dan pengeksport serantau, kita menuju ke arah ekonomi hijau yang lebih berdikari dan berdaya saing.

“Projek ini akan membantu peralihan rendah karbon dalam sektor penerbangan, membantu syarikat penerbangan mencapai sasaran pengurangan emisi, menyokong transisi tenaga dan menyumbang ke arah aspirasi sifar bersih Malaysia,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya